Wednesday, November 30, 2011 4 comments By: HIDAYATUL MUSTAQIMAH

Di Saat Syaitan Menghiaskan Futurnya..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.


Apa khabar iman di hati? Masih setiakah menagih cebisan demi cebisan redha Ilahi? Atau. Atau..Atau sudah kalah dengan al-hawa? Mohon dijauhkan. Berdoa dan teruslah berdoa kepadaNya agar ditsabatkan hati dalam menempuh hari-hari yang penuh tribulasi ini.


Saat saya menukilkan ini, jam menunjukkan angka 12:54 pagi. Badan sudah penat bercampur lelah, tetapi mata masih belum mahu mengalah. Tetap segar membugar. Sedang yang lainnya sudah lena diulit mimpi, sayup-sayup kedengaran bunyi gelak-tahan gelak-gelak lagi-tahan pula kedua-dua adik lelaki saya di bilik hadapan. Seorang berumur 10 tahun, seorang lagi berumur 14 tahun. Entah apa yang sedang dilakukan mereka. Argh, pedulikan. Sudah bosan melayan tingkah mereka siang hari tadi yang sering mahu dimanjakan. Ya. Ya. Saya memang penyayang dan penuh dengan kasih sayang.


Ketuk-ketuk kepala. Eh. Eh. Bukan itu yang mahu di highlightkan.


Dalam sehari dua ini, saya sering dihantui persoalan demi persoalan.


Berganti hari bukannya berganti pertanyaan, seolah-olah tiada hari tanpa pertanyaan. Bukan?


Tertanya-tanya di manakah saya yang dulu?


Dimanakah saya yang sewaktu mula-mula disentuh tarbiyah dahulu?


Sebentar tadi sempat singgah di blog seorang ukhti usrahmate saya di kampus lama.


Terkesan dengan ayatnya, “Saya masih lagi berperang dengan jahiliyah dalam diri sedangkan masih ramai saudara di luar sana yang perlukan saya”. Lebih kurang begitu lah bunyinya.


Angguk-angguk. “Ya, sama lah halnya dengan ana, ukht.”Tunduk.


Para da’ie mukmin sentiasa terdedah kepadadua tarikan: Tarikan iman, niat, himmah, kesedaran dan perasaannya terhadap tanggungjawab. Dari sini, dia akan sentiasa berada dalam beramal soleh atau azam kebaikan. Dari arah lain pula ialah tarikan syaitan yang menghiaskan futurnya dan menjadikannya cinta kepada dunia. Menyebabkan dia dalam lalai, malas, panjang angan-angan dan berlengah-lengah untuk belajar apa yang dia jahil. Dush! Terasa ditumbuk padu.


Urgensi Tarbiyah


Proses tarbiyah secara umumnya bermaksud perubahan dari keburukan ke arah kebaikan. Dari terkapai-kapai dalam kegelapan kepada terang-benderang cahaya keimanan.


Pendek kata, gelap kepada ‘nur’.


Kalau diikutkan rasional akal, tiada siapa yang mahu gelap bukan? Hatta seseorang itu mencuba pelbagai jenis pencuci muka untuk mencerahkan wajah. Itu baru pencuci muka. Belum lagi dikira krim pencerah. Pelembab, sunblock bagai.


Hati? Bagaimana pula dengan hati?


Kalau lah hati itu sejenis organ yang letaknya di luar,pasti mudah untuk kita membersihkannya sehari-hari bukan?


Nampak sahaja tompok-tompk hitam, terus rendam dengan clorox. Nampak sahaja keras dan kasar, rendam pula dengan softlan. Bila hapak dan berbau kurang enak, sembur pula dengan Fabreze Country Fresh.


Tapi, ternyata bukan.


Ibnu Rawahah r.a. pernah berkata kepada Abu ad Dardaa’ r.a. sambil memegang tangannya:


“Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak-balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak.”


Tarik tali antara al-haq dari wahyu Allah dan batil dari syaitan laknatullah ini adalah suatu ketetapan Allah dan ia akan terus berlaku.


Kerana itulah, kita diseru untuk menghadiri jilsah-jilsah tafakur, merenung diri dan tanasuh saling nasihat-menasihati antara satu dengan yang lainnya.


“Jauhkanlah dirimu dari sebarang al-hawa yang tidak bernama Islam.”


Itu adalah teriakan amaran yang dilaungkan oleh Maimun bin Mahran rahimahullah, seorang ahli hadith yang thiqah ketika dia merasa takut kita semua akan diperdaya oleh kilauan jahiliyah pelbagai nama. Beliau mengingatkan kita bahawa setiap perkara yang ‘bukan Islam’ adalah sememangnya salah satu dari al-hawa, biar apa jua bentuknya dan di zaman mana ia muncul.


Al-haq dan batil tidak akan pernah bersatu.


Contoh:

Islam vs Jahilyah

Nasi vs Najis = Eeeiii yak. Gelinyerrrr!


Sedar atau tidak, hidup kita sebenarnya dirancang Tuhan bagi memenuhi agenda orang lain. Anda faham? Tidak? Ok, sila tanya murabbi atau murabbiah anda. Tak faham juga? Sila buat-buat faham sebelum saya tarik telinga anda. Ketap-ketap gigi.


Kenapa saya berkata sedemikian?


Kerana setiap dari kita yang bergelar islam mempunyai satu tanggungjawab bersama iaitu menyeru. Ya. Menyeru. Bukan untuk memberitahu, tapi untuk mencetus mahu. Mencetus daripada yang tidak tahu bahawa mereka sedang diprovokasi dengan jahiliyah-jahiliyah yang sedang mengelabui mata kepada mahu kembali kepada fitrah. Kembali kepada islam yang sebenar.


Tak Mampu lawan Tak Mahu


Sedar atau tidak, hari-hari kita lalui dengan sibuk memikirkan alasan demi alasan untuk mengecualikan diri daripada tugas-tugas menyeru kepada kebaikan.


“Tak boleh lah..ana tak mampu nak tegur dia”


“Tak mau lah saya. Orang macam tu memang dah tak dapat diselamatkan dah. Biaq pi lah dia. Tak mau. Tak mau.”


Sama ke antara tak mampu dengan taaakkk mahu?


Err.. tak tahu?


Garu-garu kepala. Saya pula yang hampir keliru.


Baiklah kita perjelas satu-satu. Kasi pencerahan sikit.


Tak mampu berbeza dengan tak mahu.


Tak mampu adalah sewaktu kita memang sudah tiada kudrat. Hilang segala. Pendek kata, memang bukan pilihan kita untuk tidak memilih tak mampu. Contoh, bawa kereta. Kita sudah mencuba sedaya upaaya menjadi pemandu berhemah. Tetapi, dalam masa yang sama ada sebuah kereta memecut dengan laju dan hampir-hampir menyondol kereta kita dari belakang. Kita cuba mengelak, namun bertembung pula dengan kereta dari arah hadapan lalu terbabas. Itu namanya tak mampu. Tak mampu untuk melawan takdir tuhan bahawa hendak tak hendak, kita akan tetap mengalami kecelakaan pada hari itu.


Berbeza halnya dengan tak mahu. Senang cerita, ianya adalah sejenis kuih hijau yang berintikan kelapa. Atau mempunyai kaitan dengan bubur pulut hitam yang dicampur santan dan dimakan sejuk-sejuk. Berhenti menaip seketika,sapu air liur yang hampir jatuh laju-laju. Ada bunyi pelik. Tengok sekeliling. Arghh..rupa-rupanya datang dari perut sendiri. Lewat sebegini masih memikirkan kudap-kudapan. Betul-betul penternak yang berjaya. Pedulikan.


Ok, tak mahu pendek kata ia adalah pilihan untuk menyatakan bantahan. Bantahan yang terjadi atas banyak sebab. Sebab apa? Masing-masing sendiri tahu. Mudahnya, tak mahu adalah berakar umbi daripada tak suka. Contoh, mak suruh beli tepung, nanti petang nak buat cekodok. Kita sedang menonton tv. Kita suruh abang, abang tak mahu. Nak tak nak, kita juga kena beli. Kita tengok kat luar panas, takkan nak naik basikal? Lalu, kita pancitkan tayar basikal. Mak cakap tak apa, pergi jalan kaki. Lalu kita ambil duri, cucuk-cucuk kat kaki. Kita cakap, tak boleh sebab kaki kita berdarah, sakit. Mak cakap, kalau macam tu tak payah beli dan tak payah makan cekodok petang ni! Tengok, mak dah merajuk. Kita pula mengaduh kesakitan sebab sendiri cari pasal. Pendek kata (pendek lagi), kita mencipta berbagai alasan untuk mengelakkan diri walaupun terpaksa memilih untuk sakit.


Itu alasan untuk manusia.


Cuba kalau kita bagi alasan tu pada Allah, agak-agak Allah terima tak? Tunduk dalam-dalam.





Teringat kisah Asy-Syahid Abdullah Azam (seorang mujahid Afghanistan) yang disuruh berlari keliling tempat latihan dengan sepenuh tenaga. Rakan-rakan yang lainnya sudah berhenti kepenatan, namun beliau masih meneruskan larian. Asy-Syahid berlari dan terus berlari sehingga pengsan. Apabila tersedar, rakan-rakanya bertanya kenapa tidak berhenti sahaja apabila penat? Namun, jawab beliau, selagi mampu, selagi itu dia akan berlari. Lihat, beliau telah memenuhi kriteria arahan.


Kita?


Kita boleh sahaja mengelakkan diri daripada tanggungjawab dakwah dan tarbiyah ini. Kita boleh je goyang-goyang kaki, kunyah-kunyah keropok ikan sambil nonton sinetron Indon. Tapi cuba ambil masa untuk fikir, apa yang aku buat ni ada guna ke untuk islam? Apa yang aku nak jawab di hari pengadilan nanti? For sure, Allah takkan tanya siapa pelakon febret aku. Allah takkan tanya macam mana ending cerita tersebut. Allah takkan tanya, keropok ikan yang aku makan tadi berapa ringgit sebungkus. Sebaliknya Allah akan tanya apa yang aku dah lakukan pabila melihat maksiat bermaharajalela di luar. Apa yang aku dah buat untuk menyelamatkan akidah-akidah yang hampir terpesong landasannya. Allah akan tanya, pertolongan apakah yang telah aku salurkan untuk saudara-saudara aku yang ditindas di luar sana.


Terkesan dengan kata-kata seorang akh, rakan blogger.


“Sekalipun Allah mahu membimbing kita, jika kita memilih untuk tidak mengerakkan kaki, maka sedikitpun kita tidak akan berganjak”


Nak ubah orang mahupun suasana, terlebih dahulu kita kena jadi qudwah. Kenapa? Kerana efek perbuatan lebih kuat daripada lisan. Jauhkan diri daripada NATO (no action, talk only). Kerana nanti Allah akan mempersoalkan mengapa kita tidak lakukan apa yang kita ucapkan? AllahuRabbi..jauhkanlah kami. Ampuni kami.


Ayuh semua.Kita adalah sama.Kita adalah pewaris umat terdahulu.Pada bahu kitalah akan diletakkan pundak membina ustaziatul ‘alam.Jangan biarkan al-hawa bermaharajalela.Jangan biarkan jarum-jarum halus musuh Islam disuntik ke dalam diri kita sewenang-wenangnya.Jangan biarkan iman kita yang senipis kulit bawang dikoyak rabak sesuka hati.Jangan sesekali menjual maruah dan aqidah kita sebagai umat Islam serapuh buih-buih di lautan yang menunggu masanya untuk pecah.Ayuh! Kembalikan spirit yang hilang!


Ingat,menyeru bukan pilihan. Tetapi kewajipan kita.






Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Tuesday, November 29, 2011 2 comments By: HIDAYATUL MUSTAQIMAH

Sujud Pembebasan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.


Sujud pembebasan: Seorang muslim itu dapat menghancurkan belenggu nafsunya lalu menjadi manusia merdeka. Merdeka daripada segala kebergantungan duniawi.




Sujud itu menundukkan dahi, tetapi

Memuliakan dan meninggikan muslim yang bertasbih padaNya

Si jahil menyangkanya belenggu ke atas hamba

tetapi sujudlah yang memusnahkan segala belenggu-belenggu itu

Padanya, semua makhluk akan tunduk kepada muslim yang sujud

Seluruh alam takut kepada kata-kata dan perbuatannya

Wajah dan seluruh anggotanya melekat di bumi

Tetapi ia menggoncangkan gunung-ganang

Meruntuhkan syirik dan was-was dalam diri,

Tetapi ia juga membangunkan generasi-generasi dalam diam

kerana hati ada perjalanan yang menundukkan bumi

Lantaran kehebatan dan kebesaranNya

Sujudnya hanya kepada Allah,

ia mengesakanNya, lalu mantap dan kuat

Menghapuskan setiap penzalim yang sombong

Barangsiapa menghayati sujud ini,

dia menikmati kepimpinan dan ketuanan di muka bumi, dengan keagunganNya,

rahmat dan keindahanNya..


*Abdul Wahab Azam, Majalah al-Muslimun, Tahun 1, m.s 961


“Kalau sekiranya al-haq mengikut al-hawa mereka, nescaya binasalah langit dan bumi dan apa-apa yang ada di dalam keduanya.” (Al-Mukminun 23:71)

“Adakah orang-orang yang berada di atas keterangan (dalil) dari Tuhannya sama dengan orang yang diperhiaskan kepadanya amalan jahatnya dan mereka mengikut al-hawa mereka?” (Muhammad 47:14)



~Sujud kepada Allah adalah sujud yang meninggikan hati. Sujud kepada kebendaan hanya mematikan hati~




Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Monday, November 28, 2011 0 comments By: HIDAYATUL MUSTAQIMAH

Keutamaan Cinta


Dengan Nama Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang.


Imam Al-Ghazali ada menyebut, jika ada orang yang berbuat baik pada kita, paling tidak itu kerana dua sebab: Pertama, kerana dia ingin pahala akhirat. Kedua, ganjaran dari orang yang dibantunya. Ganjaran itu boleh berbentuk harta, pujian atau penghargaan. Jelasnya, ada ‘sesuatu’ di sebalik pertolongan itu. Sedangkan Allah menolong, membantu dan menganugerahkan kewujudan pada kita benar-benar tanpa sebarang ganjaran. Orang yang berbuat baik kepada kita, kebaikannya bersifat sementara, sedangkan Allah selalu berbuat baik pada kita terus-menerus tanpa batasan dan balasan.


Baiknya Allah, Dia terus-menerus berbuat baik pada yang mencintainya dan yang mengingkarinya. Tuhan mencintai orang-orang yang mencintaiNya dan memberikan kepada sesiapa sahaja kasih-sayangNya, tetapi bukan cinta.


Sedangkan kita, umumnya hanya berbuat baik kepada yang kita cintai. Kita jarang berbuat baik secara khusus kepada yang kita benci. Ada sebuah syair Arab,


“Jadilah kamu seperti pohon buah di pinggir jalan, meskipun dilempar dengan batu, ia tetap menghadiahkan buah yang ranum.”


Ada sebuah kisah.


Suatu ketika, Dzunnun Al-Misri sedang musafir. Dia melihat kala jengking merayap ke pinggir sungai Nil dengan cepat. Dzunnun Al-Misri mengikutnya kerana ingin tahu apa yang akan dilakukannya. Dia ingin mendapat pelajaran daripada apa yang dilihatnya, bukan apa yang didengar. Ketika kala jengking itu mendekati tepi sungai Nil, tiba-tiba dari dalam sungai, muncul seekor katak. Kala jengking itu terus menaiki belakang katak itu.


Dzunnun Al-Misri mengambil perahu dan mengejarnya. Sampai di seberang sana, kala jengking itu masih juga merayap. Pada suatu tempat di tepi sungai Nil, ada seorang pemuda sedang tidur. Tiba-tiba, dari arah yang berlawanan, datang seekor ular menuju ke arah pemuda itu, dengan pantas kala jengking itu menyerangnya. Berlakulah perkelahian antara kedua binatang itu dan berakhir dengan kekalahan ular. Ular itu mati. Setelah itu, kala jengking kembali semula ke tepi sungai Nil. Muncul lagi katak itu membawanya ke tempat asal.

Apa yang diperoleh dari kisah itu? Dzunnun Al-Misri menyimpulkan, betapa seringnya Allah melindungi kita tanpa kita ketahui. Sangat sayang Allah pada kita sehingga ketika kita tidur dan tidak berdaya menghadapi bahaya, Allah masih melindungi kita. Tanpa pengetahuan kita Dia menjaga kita.


Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Tirdmizi, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:


“Cintailah Allah kerana nikmat yang diberikanNya padamu, cintailah aku kerana cintamu pada Allah dan cintailah keluargaku kerana cintamu padaku.”


Jika kita cenderung mencintai orang yang berbuat baik pada kita, mengapa tidak mencintai Allah yang menggerakkan hati orang tersebut sehingga berbuat baik pada kita?


Namun, ada juga manusia yang mencintai sesiapa sahaja yang berbuat baik sekalipun kebaikan itu tidak sampai pada dirinya. Sebagai contoh, kita mendapati berita tentang seorang pemimpin yang adil, ahli ibadah, alim, penyayang pada orang yang dipimpinnya dan lemah lembut terhadap mereka, sedangkan pemimpin tersebut berada di salah sebuah benua bumi nan jauh dari tempat tinggal kita. Kemudian kita juga mendapati berita tentang seorang pemimpin yang zalim, sombong, fasik dan jahat serta berada jauh dari tempat tinggal kita, pasti dalam diri kita terdapat perasaan yang berbeza terhadap pemimpin yang kedua itu. Hati kita, pasti akan mencintai pemimpin yang pertama dan membenci pemimpin yang kedua, sekalipun kita tidak mempunyai sebarang harapan dari kebaikan pemimpin yang pertama dan keselamatan dari kejahatan pemimpin yang kedua.


Sama halnya dengan mencintai Rasulullah. Kita generasi umat akhir zaman, tidak mencintai baginda kecuali dengan kebaikan yang kelihatan dari baginda dan bukan kerana gambaran zahirnya. Kebaikan amal baginda itu lah yang menunjukkan sifat-sifat yang dimilikinya. Inilah sumber perbuatan kerana perbuatan adalah hasil yang timbul dari sifat-sifat tersebut dan menjadi buktinya.


Oleh itu, perkara tersebut akan menumbuhkan rasa cinta di dalam hati orang yang memiliki sifat tersebut. Ini merupakan jenis kesempurnaan. Maka, kesempurnaan pada seluruh makhluk haruslah kita nisbatkan pada kekuasaan Allah S.W.T . Mustahil jika seseorang mencintai salah seorang hamba Allah kerana kemampuan, kebijaksanaan dan kesempurnaan kekuatannya tanpa mencintai Allah kerana tiada daya dan kekuatan kecuali hanya milik Allah Yang Maha Tinggi dan Agung. Adanya mereka, tidak lain kerana kekuatan dan kebaikanNya.


Dengan demikian dapat dipastikan bahawa dalam cintaNya, tidak ada sekutu bagiNya dan tidak ada kekurangan atau cacat cela yang dapat tembus ke dalam cintaNya, sebagaimana tidak ada sekutu yang dapat mengatasi sifat-sifatNya. Jadi, dia adalah yang berhak terhadap cinta utama dan kesempurnaan cinta tanpa ada sekutu sama sekali.

Ya Allah, aku tidak tidak mempunyai sesuatu seperti Engkau. Maka kasihanilah kini pada pendosa yang datang padaMu. Wahai harapanku, sokongan dan kegembiraanku, jangan biarkan hati ini mencintai apa pun lebih dariMu..




Sumber: Buku ‘Ya Allah! Aku Tidak Layak Untuk Syurga-Mu, Namun Aku Juga Takut Azab Neraka-Mu’

Di edit oleh: Perantau Damai




Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Sunday, November 27, 2011 2 comments By: HIDAYATUL MUSTAQIMAH

Berukhuwah hingga ke Syurga!


Dengan Nama Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang.



Di jalan Allah, persahabatan ini bukan milikku dan bukan jua milikmu. Persahabatan ini adalah perancangan Allah yang mengetahui segala rahsia. Kerana Dia lah aku mengenalimu dan kerana Dia juga telah menetapkan kita mengukir 1001 kenangan bersama. Persahabatan ini sudah pasti terisi dengan kasih sayang hanya keranaNya semata. Moga kekal selamanya hingga ke Syurga.


Bisikku pada Tuhan yang SATU. Lindungilah ukhtiku. Di setiap langkah. Setiap hela nafas. Setiap kelip mata dan di setiap degup jantungnya. Banyak yang ingin ku pohon dan ku harapkan untuk dia “Lindungilah IMAN di hatinya kerana dengan IMAN yang ada, ukhtiku pasti SELAMAT di dunia dan akhirat. Amiin..”

Berukhuwah hingga ke Syurga!




Nota: Cubaan pertama saya men'DOODLE' ..ok, agak buruk. Ya.Ya.. Saya memang tak pandai melukis. :(

Tapi saya buat jugak, harapnya setiap ukht yang kenal saya tersenyum melihat ini. Saya sayang anda. Ya..Anda! ^^,








Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Thursday, November 24, 2011 8 comments By: HIDAYATUL MUSTAQIMAH

Resepi Kek Perkahwinan..Jom Cuba!

Resepi Kek Perkahwinan


Bahan:

1 lelaki sihat

1 wanita sihat

100% komitmen

2 pasang restu orang tua

1 botol kasih sayang murni


Perisa:

Sebuku besar humor

25 gram rekreasi

1 bungkus doa

2 sudu teh telefon

5 kali ibadah/hari


Semuanya diadun hingga rata dan mengembang.


Tips:

- Pilih lelaki dan wanita yang benar-benar matang dan seimbang.

- Jangan yang satu terlalu tua dan yang lainnya terlalu muda kerana dapat mempengaruhi kelazatan. (Sebaiknya dibeli di pusat beli belah bernama TEMPAT IBADAH, walaupun agak mahal namun kualiti terjamin.)

- Jangan dibeli di pasar yang bernama DISKO atau PARTI kerana walaupun modelnya bagus dan harum baunya namun kadangkala menipu pelanggan atau mengguna zat pewarna yang dapat merosakkan kesihatan.

- Gunakan kasih sayang cap ‘DAKWAH’ yang telah mendapat penghargaan ISO dari Kementerian Kesihatan dan Kerohanian.


Cara-cara memasak:

- Lelaki dan wanita dicuci bersih, buang semua masa lalunya sehingga tersisa niat yang murni.

- Siapkan loyang yang telah disapu dengan komitmen dan restu orang tua dengan rata.

- Masukkan niat yang murni ke dalam loyang dan panaskan dengan api sekitar 30 minit di depan kadi.

- Biarkan di dalam loyang tadi dan siram dengan perisanya.

- Kek perkahwinan sedia dinikmati.


Catatan:


Kek ini dapat dinikmati oleh pembuatnya seumur hidup dan paling enak dinikmati dalam keadaan hangat. Namun, jika sudah agak dingin, tambahkan lagi humor segar secukupnya, rekreasi sesuai selera serta beberapa potong doa kemudian dihangatkan lagi dalam ketuhar berjenama ‘Tempat Ibadat’.


Setelah mulai hangat, jangan lupa bertelefon bila berjauhan.

Selamat mencuba, dijamin semuanya HALAL. ^__^



Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Wednesday, November 23, 2011 0 comments By: HIDAYATUL MUSTAQIMAH

.::Kembali::.


Dengan Nama Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang.



Saat kembali kepada diri

Yang bermula dengan satu titik

Lebih kecil dari detik

Lebih abadi kepada milik.


Milik saat dan milik detik

Benar kembali ke milik tentu

Bagai langkah memburu waktu

Akhirnya sampai ke titik satu.

(Hilmi Rindu)



When life is slowly drifting away...


~Aseef ‘ala kulli hal~





Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Saturday, November 19, 2011 2 comments By: HIDAYATUL MUSTAQIMAH

Katanya seorang da'ie, tapi kenapa masih mahu beralasan?

Dengan Nama Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang.


Moga kalian sentiasa dipayungi rahmat dan kasih sayangNya, serta kasih sayang orang-orang yang beriman dengan penuh ketaqwaan pada jalanNya.


Memandang ke langit. Gelap. Mentari bagaikan merajuk namun masih sudi memancarkan sinarnya sipi-sipi. Saat saya menukilkan ini, airmata mencurah-curah membasahi pipi.


Oh,wahai awan yang sedang berarak mendung, sudikah kau mendengar kebodohan hamba Allah ini?


Ini adalah luahan hati seorang hamba yang marhaen.


Airmata diseka. Nafas ditarik, dihembus perlahan.Hingga ke saat ini, diri dihantui dengan kebodohan demi kebodohan yang telah saya lakukan. Mementingkan diri sendiri, tanpa mengambil tahu ada hati yang perlu dijaga. Saya tidak tahu dan tidak faham apakah yang sedang terjadi pada diri saya tika ini. Himmah dan hamasah yang dahulunya berapi-api, entah sudah kemana dicampak tepi.


Sebentar tadi, saya mendapat pesanan ringkas daripada ex-murabbiah saya di kampus lama. Salah satu mesejnya cukup membuatkan saya tersentak.


"Kenapa enti pergi program separuh je? Kenapa tak pergi full?Satu kerugian yang teramat sangat bila buat macam tu. Akhawat bersusah payah datang dari jauh untuk kita, tapi kita yang dekat buat macam tu. Dulu enti mengadu kat akak, kat sana tak ada program, usrah macam kat sini. Tapi, bila Allah dah bagi kat enti, enti pula tak bersungguh. Nak ke jadi macam kaum terdahulu? Sebelum arahan jihad diturunkan nak sangat pergi berjihad. Tapi bila arahan jihad dah turun, tak nak pulak pergi. Inilah golongan yang sangat dibenci Allah. Semoga kita dapat berubah dan mensyukuri nikmat tarbiyah yang Allah bagi ni."


Retak kolam berkaca, menumpahkan mutiara jernih. Laju, sama lajunya dengan hujan lebat di luar sana. Hingga sekarang, airmata masih tidak mahu berhenti dari mengalir. Semakin diseka, semakin terasa sesak di dada. Hingga bengkak-bengkak mata jadinya.


Entah dari mana ex-murabbiah saya itu mendapat tahu cerita ini. Sedangkan jarak kami berbatu-batu jauhnya. Saya pasti, kali ini ex-murabbiah saya sedang kecewa yang amat dengan sikap saya ini. Alasannya hanya satu, kerana exam. Ya . Alasan yang tidak patut ada untuk seseorang yang bergelar da’ie bukan?


Allahu Rabbi.. walhal suatu ketika dahulu, saya turut berdepan dengan dilema yang sama. Namun, saya memilih untuk ke program, niatnya hanya satu. Jika kita tolong agama Allah, Allah pasti akan menolong kita. Saya ingin membuktikan itu. Dan ternyata, keputusan peperiksaan saya melebihi dari apa yang saya jangkakan. Benar, janji Allah itu pasti.


Namun sekarang, saya seolah-olah jauh. Jauh dari Allah. Meski jasad di tikar sejadah, namun roh langsung tidak meresapi. Saya tidak tahu di mana silapnya. Puas saya cari. Dan ternyata, semuanya berpunca dari diri saya sendiri. Ya, mungkin masalah hubungan saya dengan Allah atau mungkin masalah hubungan saya sesama manusia.


Saya akui, saya telah melakukan kesilapan besar kali ini. Saya bencikan diri saya yang sekarang. Terlampau manja dan selalu beralasan. Mungkin saya berada di zon yang selesa. Saya tahu tindakan itu salah. Tapi masih juga saya teruskan. Jika akhawat sanggup datang dari jauh untuk semata-mata untuk kami, kenapa saya tidak sanggup korbankan sedikit masa untuk beliau bukan? Saya tahu, pasti ramai yang kecewa dengan sikap saya. Untuk itu, saya mohon beribu kemaafan dari kalian. Saya tak hargai nikmat tarbiyah yang telah diberi. Namun, saya juga tidak mahu futur. Na’uzubillah. Sesekali tak nak. Moga Allah ampuni sikap saya ini. Saya menyesal. Teramat menyesal.


Allahu Rabbi..sudikah engkau menerima permohonan taubatku ini?



Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Thursday, November 3, 2011 4 comments By: HIDAYATUL MUSTAQIMAH

Yes, I'm single!



Dengan Nama Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang.


Salam kemaafan pembuka coretan, salam rindu di angin lalu dan salam sayang istimewa buat sahabat-sahabat yang amat dikasihi kerana Allah.


Alhamdulillah, tanah basah di luar. Hujan masih renyai-renyai. Merenung kosong pada skrin komputer riba. Jemari teragak-agak mahu menari. Entah mengapa, semangat untuk menulis agak lesu beberapa bulan kebelakangan ini. Puas diseru, lelah merayu. Namun, tetap tak kunjung tiba. Natijahnya, jika kalian sedar, saya hanya berkongsi video nasyid sejak dua menjak ini. Hati dipagut rasa bersalah, tapi ianya lebih baik daripada laman ini dibiar sepi bukan? Angguk-angguk. (Ok, saya masih mahu memenangkan diri sendiri).


Dalam ketandusan idea, hati terpanggil untuk berkongsi suatu berita gembira saya kira. Semalam, dalam berkira-kira untuk melelapkan mata selepas seharian menjalankan tugas sebagai surirumah yang tidak bertauliah, saya mendapat pesanan ringkas daripada seorang kakak. Subhanallah, bagaikan ada telepati antara kami. Dalam dua tiga hari sebelum itu, saya asyik terfikirkan beliau. Mahu saja bertanya khabar, tetapi kesibukan di rumah menjadikan saya lupa. Pada malamnya pula, saya rebah kepenatan. Huhu.


Sebagai muqaddimah, elok lah saya ceritakan serba sedikit tentang beliau. Kak Solehah (bukan nama sebenar) merupakan senior saya sewaktu di sekolah dulu. Beza umur kami hanya setahun. Mengikut perkiraan, sudah hampir 4 tahun kami tidak bersua muka. Alhamdulillah, ukhuwah kembali bertaut dalam laman mukabuku. Saya hampir tidak mengenali beliau kerana beliau menggunakan nama samaran dan tiada sebarang butir peribadi pada profil beliau. Jenis saya, saya tidak suka online pada chatting mukabuku. Saya lebih senang ‘merayau-rayau’ sebagai silent reader. Hendak dijadikan cerita, pada hari itu, saya sengaja online pada ruangan chatting. Lantas akak itu menegur. Maka, bermulalah kembali ukhuwah kami setelah sekian lama terpisah. Namun, dek kesibukan masing-masing, kami menyepi seketika.


Pada suatu hari, (sekitar bulan Ramadhan lepas seingat saya), saya terserempak seorang gadis berniqab di tepi jalan. Takdir mempertemukan saya dengan gadis berniqab itu hampir setiap kali saya pulang ke rumah pada hujung minggu. Kadang-kadang di tempat menunggu bas. Ada kalanya, saya lihat si gadis itu berjalan sendirian di tepi jalan berhampiran sekolah lama saya dahulu. Setiap kali ‘terserempak’ dengan beliau, saya jadi senyum sendiri. Kagum dengan keindahan ciptaan Tuhan yang bertutup rapi itu. Dalam pada itu, fizikalnya membuatkan saya teringat pada seseorang yang pernah saya kenal. Dan hati saya kuat mengatakan bahawa si gadis itu adalah Kak Solehah!


Maka, pada suatu hari, saya memberanikan diri menghantar mesej pada laman mukabuku menceritakan perihal apa yang saya nampak lalu bertanya adakah benar gadis itu adalah beliau? Agak lama saya menantikan jawapan dan ternyata telahan saya benar! Alhamdulillah. Tanpa teragak-agak,saya meluahkan keinginan saya untuk menjadi seperti beliau. Betapa Allah telah pertemukan saya dengan ramai muslimah yang berniqab. Saya masih tak mengerti apakah maksud di sebalik setiap pertemuan itu. Adakah sudah tiba masanya saya mengikut jejak langkah mereka? Namun ternyata, saya masih belum kuat untuk itu. Dan pada akak itu lah saya menceritakan segalanya. Betapa terujanya saya apabila mendapat tahu salah seorang senior saya di sekolah dahulu sedang istiqamah untuk berniqab. Sejak daripada itu, kami bertukar nombor telefon dan saling merisik khabar.


(Selesai muqaddimah. Maaf, panjang berjela. Itu pun sesudah diringkaskan serba sedikit. Senyum.)


Berbalik kepada cerita asal. Setelah bertanya khabar, tiba-tiba..


“Dik, ada benda nak share. Huhu. Malu pun ada. Akak tak pernah menghadapi keadaan ni. Tapi kali ni Ya Allah hai, sangat malu..”


Saya pula bagai tak sabar ingin tahu. Pedulikan dahulu kantuk yang menguasai. Kak Solehah perlu diutamakan. Sengih.


“Malunya nak cite. Tapi cite kat Syirah lah, tak bagitau orang lain. Tahu tak, boleh pulak seorang lecturer akak kat sini, ustaz yang ajar third language akak, dia tanya family kak dan dia cakap niatnya nak ambil akak jadi zaujah dia.”


Aduhai. Berkali-kali saya tenyeh mata tanda tidak percaya. Berkali-kali juga kepala digeleng. Dalam masa yang sama, hati turut teruja. Malu pun ada membacanya. Menggelupur seketika, tutup muka dengan bantal. Agak melampau. Macam saya pulak yang dikhitbah kan?..Hehe..


“Akak baru tahu siang tadi. Tu pun siang tadi ada kelas dengan dia, dia malu-malu. Memang dia tak pandang akak, macam pelik..Tapi tak fikir sangat. Petang tadi, abang akak tepun cerita pasal tu. Terus teringat pasal kelas siang tadi. MasyaALLAH, malu. Malu sangat. Ustaz tu dulu masa degree dia kat Cairo. Alhamdulillah, orangnya thiqah. Baik, kawan-kawan akak cakap ustaz tu sangat menjaga. Akak malu sangat ni dik.”


Ok. Muka saya dah bertukar warna pabila membacanya.


“AllahuRabbi, abang akak macam excited terlebih pulak dia. Abang akak minta ustaz tu datang jumpa family akak sekali. Kalau akak cakap setuju, abg cakap on je. Malu lah, akak sangat tak menduga perkara ni. Malu sangat. Hari tu masa kat Shah Alam, akak kuar dengan kawan. Kawan akak tu jenis peramah. Kebetulan terserempak dgn ustaz tu masa akak tengah belek-belek niqab kat kedai. Lepas tu, kawan akak tegur ustaz tu, mungkin ustaz tu tanya kawan akak kuar ngan siapa kot. Sebab ustaz tu terkejut tengok akak, akak pun terkejut tengok dia. Lepas tu ustaz tu terus mintak izin pergi. Dan sebenarnya dik, Ya Allah hai..Hari sama jumpa tu lah ustaz terus tepun abang kak. Tapi akak baru tahu siang tadi bila abang kak cerita.”


“Tu lah akak tanya abang macam mne ustaz boleh ambil nombor telefon. Abang akak cakap, ustaz tu bgitau dia tengok personal profil akak yang dalam system U. Kan ada nama penjaga. Dari situ lah dia ambil.”


“Abang akak cakap masa ustaz tu telefon, tu lah kali pertama dengar suara dia. Kat U xleh pakai niqab. Tambah-tambah kat Shah Alam ni. Akak try mohon dikecualikan utk berniqab, tp x lulus. Disebabkan kelas akak tak pakai, sbb tu masa terserempak kat luar, nampak lah muka ustaz tu macam terkejut. Akak lagi lah terkejut sbb x sangka terserempak ngan dia.”


Ohhohoii..sweet sangat cite Kak Solehah. Saya pula yang teruja lebih.


“Hati akak kata apa? Ok2..Jangan tanya hati. Mesti tengah celaru. Cuba tanya iman. Iman akak bicara pe?”


Dan jawapannya..


“Iman akak rasa, macam…Malu nak ngaku. Tapi rasa macam senang je nak bagi kata putus untuk terima. Sebab akak respect cara ustaz tu. Dia tak tanya direct pada akak, tapi berani tanya abang. Sebab akak pernah lah ikrar, hehe.. Jika ada seorang laki2 mahukan akak, tapi dia tanya family akak n bukan akak first2, insyaALLAH itulah pilihan akak.”


Subhanalllah.. Hampir saja airmata saya menitis mendengar cerita lamaran ustaz terhadap kakak saya yang seorang itu.


Sungguh indah cinta bersyariat. Iman memandu nafsu. Agama menjadi paksi utama dalam pemilihan jodoh.


Teringat status seseorang di mukabuku.


“Jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan sedikit agenda menCARI si Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet sangat menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh.Bertemu yang solehah, solehahnya dia belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya boleh berubah. Kerana si solehah dan si soleh adalah insan biasa.Tetapi jika semua orang fokus kepada JADI dan bukannya CARI, maka ramailah calon, dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbang untuk berumahtangga dengan pasangan “itu" walaupun mungkin tidak 100% (30% pun belum tentu) mengenalinya..”


Subhanallah..


“Ehem..Adik bila lagi? Dengar-dengar macam dah x lama..hehe..”


AllahuRabbi..mengucap panjang saya.


“Dengar apa pulak kak? Calon pun tiada..” sekadar berbasi-basi. Sungguh, saya mudah gelabah bila diajukan persoalan sedemikian. Cuba berlagak setenang yang mungkin. Hehe..


“Yelah tu..orang manis macam adik nih, takkan belum ada calon?”



Sekadar ketawa kecil.


Dalam hati sempat berbisik,


“Yes, I’m single! But I’m not desperate!” (Senyum)


“Lambat lagi lah kak..pakai niqab pun tak tercapai lagi.”


“Takpe dik, slow-slow yer. Pasti akan dipermudahkan. J


Amin Ya Rabb..


Akak..moga Allah memberkatimu. Kamu insyaALLAH solehah..pasti akan memperolehi si dia yang soleh.


Teringat sewaktu temujanji pakar minggu lepas, sewaktu usai rawatan dan ingin beransur pulang.


Saat mahu memulas tombol pintu, si doktor tiba-tiba..


“Ehem. Macam ada terbau-bau nasi minyak je.”


Tersentak. Pegun sebentar sebelum berkalih ke arahnya.


Mak tiba-tiba menyampuk.


“Ehh..lambat lagi lah doktor.”


Saya mengangguk laju-laju.


Sudahnya, saya dan mak meninggalkan si doktor dan puan misi bersama gelak tawa mereka.


Menebak rasa, ada ke orang mahukan si sakit macam saya ni?


Ketuk-ketuk kepala. Senyum sendiri.





Nota: Cintai Allah terlebih dahulu dan AKRABLAH bersama-samaNya dengan jalan-jalan yang ada..apabila kamu menjagaNya, Dia akan menjaga kamu nanti..mudah-mudahan akan Dia TITIPKAN seorang yang BAIK untuk MENJAGA kamu suatu hari nanti..

Nota: Kepada si kakak..sekiranya anda membaca entri ini, maaf Syirah guna cerita akak untuk dikongsi. I'm juz heppy for u dear ukht. Aman. Hehe..




Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...