Kujejak pulau sepi..hanya aku dan Sang Khalik..mentadabur makna sebuah kedamaian..
Sebuah Perhitungan! ~Syafi'una Ya Rasulullah..~
Kekasih Allah Pengsan Lantaran Dahsyatnya Seksaan Neraka
Pada suatu ketika malaikat Jibril a.s datang menemui Rasulullah S.A.W. Kedatangan Jibril a.s yang bukan pada waktu kebiasaannya ditambah pula dengan wajahnya yang berubah, menyebabkan Rasulullah S.A.W berasa hairan dan bertanya, “Mengapa wajahmu berubah pada kali ini?”
“Ya Rasulullah. Aku datang kepadamu ketika Allah menyuruh supaya ditiupkan nyalaan api neraka. Aku ingin memberitahu bahawa seksaan api neraka itu adalah benar dan seksaan kubur itu juga benar,” kata Jibril a.s.
“Kalau begitu wahai Jibril, beritahu kepadaku apakah sifat Jahanam?” Rasulullah bertanya.
“Ya Rasulullah, ketika Allah menjadikan neraka Jahanam, dinyalakan api seribu tahun sehingga api itu merah kemudian dilanjutkan lagi sehingga api itu menjadi putih. Kemudian dilanjutkan lagi seribu tahun sehingga hitam dan gelap di mana nyalaan api dan baranya tidak pernah padam. Demi Allah yang mengutuskan engkau dengan hak, jika terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan membakar seluruh penduduk dunia kerana panasnya,” balas Jibril a.s.
Sambung Jibril a.s lagi, “Seandainya satu baju ahli neraka digantung di antara langit dan bumi. Nescaya akan mati penduduk dunia akibat panasnya. Seandainya satu pergelangan daripada rantai yang disebut dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit, sudah pasti akan cair dan meleleh ke bawah sehingga ke bumi yang ketujuh.”
“Di dalam neraka Jahanam itu perhiasannya terdiri daripada besi dan minumannya air panas bercampur nanah dan pakaiannya daripada potongan api. Api neraka itu ada tujuh pintu, setiap pintu ada bahagiannya daripada lelaki dan perempuan,” jelas Jibril.
“Adakah pintu-pintu sama seperti yang terdapat di dalam rumah-rumah kami?” Rasulullah S.A.W bertanya lagi.
“Tidak. Tetapi pintu itu selalu terbuka. Dari satu pintu ke satu pintu jarak perjalanannya selama 70,000 tahun dan setiap pintu lebih panas kira-kira 70 kali ganda.”
“Siapakah penduduk yang berada pada setiap pintu itu?”
“Pintu yang terbawah untuk orang munafik dan orang yang kafir setelah diturunkan mukjizat Nabi Isa serta keluarga Firaun manakala pintu kedua pula tempat golongan musyrikin, pintu ketiga tempat orang sobi’in bernama Saqar, pintu keempat tempat iblis dan kaumnya daripada kaum Majusi bernama Ladh, pintu kelima tempat orang Yahudi bernama Hutomah, tempat keenam tempat orang Nasara bernama Sa’eir.”
Kemudian Jibril terdiam seketika seolah-olah segan hendak memberitahu sehingga Rasulullah S.A.W bertanya, “Siapa pula yang berada di pintu ketujuh?”
“Di dalamnya adalah tempat orang yang berdosa besar dan umatmu yang sampai mati tidak mahu bertaubat.”
Mendengar jawapan itu Rasulullah S.A.W pengsan kerana terlalu takut dan ngeri, kemudian Jibril meletakkan kepala baginda di pangkuannya sehingga baginda tersedar.
Sebaik sahaja tersedar dan membuka mata, Rasulullah S.A.W berkata, “Ya Jibril, sesungguhnya aku sangat risau dan sedih apakah ada seorang daripada umatku yang akan masuk ke dalam neraka?”
“Ya, iaitu orang yang berdosa besar daripada umatmu,” jawab Jibril.
Oleh kerana terlalu sedih Rasulullah S.A.W menangis, Jibril juga turut menangis. Baginda kemudian masuk ke dalam rumah dan tidak keluar kecuali untuk bersembahyang dan kemudian tidak berbicara dengan sesiapa. Apabila Rasulullah S.A.W menunaikan solat, baginda akan menangis dan meminta keampunan daripada Allah S.W.T.
Ibu Jangan Buang Kami...!!!

Berpegangan tangan
Tewas dengan nafsu
Adegan mual tanpa segan
Tanpa silu
Tanpa malu
Ditayang depan khalayak
Berpeluk,bercumbu..
Terkhayal dengan pujukan
Terbuai dalam bicara
Terlena oleh bisikan
Sehingga lahirnya zuriat yang bukan pilihan
Benih yang kau panggil anak haram itu
Siapa puncanya?
Kemudian dicampak bersepah-sepah
Tangan pertama yang menyambut
Kau humban ia ibarat sampah
Masih berdarah,masih bertali pusat
Kau buang tanpa belas
Apa kau kira nyawanya tiada nilai?


Apa kau peduli?
Dipatuk gagak
Di mana ihsan insani?

Bayi itu merengek..
Minta dikasihani
Ibu..ibu..adik takut..
Adik sakit,semut ni gigit adik
Gagak hitam ni..gagak ni patuk adik..!
Adik sakit..pedih sangat bu…
Ibu..
Ibu nak kemana tu?
Jangan tinggal adik..adik nak ikut..
Ibu…!!!
Dengar?
Kau dengar tangisannya?
Namun..seketika cuma.
Saat kau berpaling
Bayimu sudah tiada
Kemana?
Terkulai..digonggong anjing.
Menjadi santapan mewah bersama kerabatnya yang lain.
Tempat bergantung harap
Kini menjadi pembunuh yang mengerikan!
Siapa yang salah??
Jika bukan kau dan si durjana itu!
Melampias nafsu syahwat
Tanpa mengambil kira ada yang jijik memerhati.
Maruah,harga diri dilelong
Kemana hilangnya malumu?
Kupejam rapat mata ini
Kesakitan mencengkam jiwa
Bagaikan menyiat-nyiat
Tumpah airmata tak terbendung
Parah..remaja kita semakin parah
Kembalilah dikau pada fitrah
Hakikat sebenar seorang insan.
Pengabdian sebenar seorang hamba.

Parit Amal, 19/10/10
9.16 pm
Sirah~Abu Ayub Al-Ansari~
Nama sebenar beliau ialah Khalid bin Zaid bin Kulaib dari Banu Najjar. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang utama dan paling rapat kepada Nabi SAW.
Ketika Rasulullah SAW sampai di Madinah di dalam peristiwa hijrah, baginda disambut dengan gembira oleh orang-orang Ansar di Madinah. Hati mereka berada bersama-sama baginda dan mata mereka sentiasa mengikuti pererakan baginda dengan rasa penuh cinta dan kebaktian. Mereka ingin memberi baginda sambutan yang amat baik sekali pernah diberikan oleh seseorang.
Pada mulanya, Rasulullah SAW berhenti di Quba yang terletak dekat pinggir kota Madinah dan tinggal di sana selama beberapa hari. Perkara pertama yang dilakukannya ialah membina sebuah masjid sebagaimana dijelaskan dalam al-Qur’an:
“Masjid yang didirikan atas dasar taqwa.” (At-Taubah: 108)
Nabi SAW memasuki kota Madinah dengan menunggang untanya. Para pemimpin Madinah berdiri di sepanjang jalan, setiap orang berharap untuk mendapatkan penghormatan dari Nabi SAW agar baginda ingin singgah dan bermalam di rumahnya. Seorang demi seorang berdiri di jalan yang dilalui oleh unta baginda. Mereka semua berkata:
“Tinggallah bersama kami, hai Rasulullah.”
Rasulullah SAW akan menjawab:
“Biarkanlah unta ini berjalan semahunya.”
Unta itu terus berjalan, diikuti dengan rapat para penduduk Madinah. Setiap kali ia melewati sebuah rumah, tuan rumah tersebut merasa sedih dan kecewa manakala orang-orang yang rumahnya menunggu giliran untuk dilalui oleh unta itu sentiasa mengharap-harap agar ia berhenti di depan pintu mereka. Unta itu meneruskan perjalanannya dengan diikuti oleh orang ramai sehingga ia berhenti di atas sebidang tanah di depan rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Namun, Rasulullah SAW tidak turun dari untanya itu.
Selepas beberapa ketika, unta itu berjalan semula, Rasulullah SAW membiarkan tali kekangnya terlepas. Walau bagaimana pun, tidak lama kemudian ia berpusing semula dan berhenti di atas tanah tadi. Hati Abu Ayyub dipenuhi dengan kegembiraan. Beliau keluar mendapatkan Nabi SAW dan menyambutnya dengan ghairah sekali. Beliau mengangkat barang-barang Nabi sambil merasakan bahawa beliau sedang membawa harta yang paling berharga sekali di dunia ini.
Rumah Abu Ayyub memiliki dua tingkat. Beliau telah mengosongkan tingkat atas dan semua milik keluarganya supaya Nabi SAW boleh tinggal di situ. Namun Nabi SAW lebih suka tinggal di tingkat bawah. Malam pun sampai dan Nabi SAW berehat. Tetapi apabila mereka telah menutup pintu, Abu Ayyub menoleh ke arah isterinya lalu berkata:
“Celakalah kita! Apa yang telah kita lakukan? Rasulullah SAW berada di bawah dan kita ada di atasnya! Adakah kita berjalan di atas Rasulullah SAW! Adakah kita menghalang wahyu?! Jika benar, maka binasalah kita!”
Pasangan suami isteri itu menjadi bertambah bimbang tidak tahu apa yang harus dilakukan. Mereka hanya dapat sedikit akal bila mereka bergerak ke tepi rumah supaya tidak betul-betul berada di atas Nabi. Mereka juga berhati-hati supaya berjalan di tepi-tepi sudut lantai dan tidak di tengah-tengahnya. Pada keesokan paginya, Abu Ayyub menemui Rasulullah SAW lalu berkata:
“Demi Allah, kami tidak dapat melelapkan mata sedikit pun malam tadi, begitu juga dengan Ummu Ayyub.”
“Mengapa hai Abu Ayyub?” Tanya Rasulullah, hairan.
Abu Ayyub pun menerangkan kebimbangan mereka kerana berada di atas manakala baginda pula berada di bawah, dan mungkin mereka juga boleh menghalang wahyu.
“Janganlah bimbang, hai Abu Ayyub,” kata Nabi SAW, “Kami lebih suka tinggal di tingkat bawah kerana ramai orang yang akan menziarahi kita.”
“Kami akur dengan kehendak Rasul,” jawab Abu Ayyub.
Abu Ayub ada menceritakan satu kisah:-
“Pada suatu malam yang sejuk, sebuah kendi kami telah pecah dan air mengalir di atas lantai atas. Ummu Ayyub dan aku memandang air tersebut. Kami hanya memiliki sehelai kain baldu yang kami gunakan sebagai selimut. Kami pun menggunakannya untuk mengelap air itu kerana bimbang ia menyerap ke bawah dan terkena pada Nabi SAW. Pada waktu pagi, aku mendapatkan baginda lalu berkata:
`Aku tidak senang berada di atasmu.’
Dan memberitahunya apa yang telah terjadi. Baginda menerima keinginanku dan kami pun berpindah tempat.”
Rasulullah SAW tinggal di rumah Abu Ayyub selama hampir tujuh bulan sehingga masjid yang dibinanya telah siap di atas tanah tempat unta baginda berhenti. Baginda berpindah ke bilik yang dibina di sekeliling masjid tersebut untuk diri dan keluarganya. Dengan demikian, baginda menjadi jiran Abu Ayyub. Alangkah beruntungnya kerana mendapat jiran semulia itu!
Abu Ayyub sangat mencintai Nabi SAW dengan seluruh hati dan nabi SAW juga amat mencintainya. Tidak ada peraturan rasmi di antara mereka. Nabi SAW terus menganggap rumah Abu Ayyub seperti rumahnya sendiri.
Pada suatu hari, Abu Bakar keluar dari rumahnya di waktu tengahari yang terik lalu pergi ke masjid. Umar terlihatnya lalu bertanya:
“Hai Abu Bakar, apa yang membuat engkau keluar pada waktu begini?”
Abu Bakar mengatakan bahawa dia terlalu lapar, lalu Umar pun turut mengakui dirinya juga kelaparan. Rasulullah SAW terserempak dengan mereka lalu bertanya:
“Apa yang membuat kamu berdua keluar dari rumah pada waktu begini?”
Mereka memberitahu baginda lalu baginda berkata:
“Demi Tuhan yang jiwaku di tanganNya, hanya laparlah yang membuat aku keluar juga. Marilah bersamaku.”
Mereka pun pergi ke rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Kebetulan, Abu Ayyub sedang bekerja di kebun kurma berdekatan. Beliau mendengar suara Nabi SAW lalu segera datang.
“Selamat datang kepada Rasul dan siapa saja yang bersamanya,” katanya lalu meneruskan, “hai Rasulullah, biasanya engkau tidak datang pada waktu begini.”
Abu Ayyub selalu menyimpan sedikit makanan untuk Nabi setiap hari. Jika Nabi tidak datang, maka Abu Ayyub memberikan makanan tersebut kepada keluarganya.
Abu Ayyub keluar dan memotong setandan kurma yang di dalamnya ada kurma masak dan ada kurma yang setengah masak.
“Aku tidak mahu engkau memotong yang ini,” kata Nabi, “Mengapa engkau tidak bawakan kurma yang masak saja?”
Abu Ayyub berkata:
“wahai Rasulullah, silakanlah makan kurma yang telah masak dan yang setengah masak ini. Aku akan menyembelih seekor kambing untukmu.”
“Kalau begitu, jangan sembelih kambing yang ada susu,” pesan baginda.
Abu Ayyub menyembelih seekor anak kambing, memasaknya separuh dan memanggang yang separuh lagi. Beliau juga meminta isterinya supaya membuat roti kerana isterinya pandai dalam hal itu.
Bila makanan telah siap, ia dihidangkan di depan Nabi SAW dan kedua-dua orang sahabatnya itu. Nabi mengambil sekeping daging, meletakkannya ke atas roti lalu berkata:
“Wahai Abu Ayyub, bawakanlah ini kepada Fatimah, dia tidak makan seperti ini selama beberapa hari.”
Apabila mereka selesai makan dan merasa puas, Nabi SAW berkata:
“Roti dengan daging, busr dengan rutb!”
Kemudian air mata mengalir dari kelopak matanya. Baginda berkata lagi:
“Ini adalah nikmat yang akan ditanyakan kepada kamu pada hari kiamat kelak. Maka jika kamu makan nikmat itu, ucapkanlah bismillah dan bila selesai katakanlah Alhamdulillahillazi huwa ashba’na wa an’ama a laina (Segala puji bagi Allah yang telah mencukupkan kami dan menganugerahkan nikmat ke atas kami). Ini adalah baik.”
Itulah imbasan terhadap kehidupan Abu Ayyub sehari-harian. Beliau juga mempunyai karier ketenteraan yang tersendiri. Banyak dari masanya dihabiskan sebagai seorang pahlawan sehingga dikatakan mengenainya:
“Beliau tidak terlepas dari semua pertempuran yang disertai oleh kaum Muslimin sejak dari zaman Nabi SAW sehinggalah zaman Muawiyah melainkan beliau terlibat semuanya.”
Misi ketenteraan terakhir yang disertainya ialah yang disediakan oleh Muawiyah dan dipimpin oleh anaknya, Yazid untuk menentang Konstantinopel. Pada waktu itu, Abu Ayyub sudah sangat tua, hampir berusia lapan puluh tahun. Tubuhnya kurus kering kerana diserang sakit malaria. Tetapi hal itu tidak menghalangnya daripada menyertai pasukan tentera dan menyeberangi lautan untuk berjihad di jalan Allah. Tidak lama selepas terlibat dalam peperangan itu, Abu Ayyub jatuh sakit dan terpaksa berundur dari berjihad. Namun begitu, beliau tetap berada di atas kudanya dalam keadaan seperti melekat.
Yazid datang mendapatkannya lalu bertanya:
“Wahai Ayahanda Abu Ayyub, adakah ayahanda memerlukan sesuatu?”
“Hai Yazid, sampaikanlah salamku kepada tentera Muslimin dan katakan kepada mereka bahawa Abu Ayyub menyuruh kamu supaya menyerbu masuk ke dalam kawasan musuh sejauh yang boleh, bawalah dia dan kebumikan dia di bawah dinding kota Konstantinopel, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa seorang lelaki yang soleh akan syahid dan dikebumikan di bawah dinding tersebut.”
Kemudian beliau menghembuskan nafas yang terakhir.
Tentera Muslimin melaksanakan keinginan sahabat Nabi yang agung itu. Mereka berjaya mengundurkan tentera musuh dalam serangan demi serangan sehingga mereka sampai ke dinding kota Konstantinopel. Di sana, mereka mengebumikan jasad beliau.
Kaum Muslimin mengepung kota tersebut selama empat tahun tetapi akhirnya berundur.
Rupanya, janji Nabi mengenai kemenangan ke atas kota Konstantinople ini benar. Ia disempurnakan oleh Sultan Muhamad al-Fateh.
Kisah Karpet dan Penyapu Lidi~Momentum Dakwah~
“Biar betul Khai??”, Jue bertanya kurang yakin.
“Betul..tadi aku ada jumpa Ketua Jabatan,dia yang cakap camtu..aku sampaikan je..”, Khairul mengesahkan.
Berbagai-bagai reaksi terzahir dari riak wajah bakal-bakal ustaz dan ustazah kelas itu. Ada yang gembira teruja, tidak kurang juga yang mengeluh,menarik muka tak mahu.
“Ala..x bez la..”
“Beznye…! Kawan saya ada belajar kat situ!”
“Duk jela kat sini..asal nak kena pindah-pindah lak?”
“Kampus kat sana kan kebanyakannya opsyen agama. Baru dapat ‘feel’ suasana Islam tu..”
“Main pindah-pindah pulak..leceh la..”
Suara-suara itu menarik perhatian Iman untuk turut sama mendengar. Dia tidak mahu masuk campur. Mendengar dan terus mendengar. Mengangguk bila dirasakan betul.
“Hey korang..ileks2..jangan gelabah,jangan melatah..cool je kay? Ehem2..”, Khairul ‘mengejas’ kotak suara.
“Korang ni..aku x abis cakap lg dah nak menyampuk..da macam kena sampuk pun ada ni ha..nanti dulu..dengar aku cerita.”
Semua senyap. Memberi tumpuan kepada yang bercakap di hadapan.
“Bagus cikgu2 semua..heheeh..ok, memang betul opsyen kita sepatutnya dipindahkan ke
IPIS,Bangi naik sem depan. Tapi…..”, Khairul sengaja menguji kesabaran setiap yang mendengar.
“Tapi apa..??”, Syakir bertanya agak kurang sabar.
Khairul mengekek menahan tawa. Lucu benar melihat riak-riak wajah classmatesnya yang beria-ria hendak tahu.
“Ok2..i’m sorryyyyy..”, Khairul meminta ampun gaya Amir Raja Lawak.
“Korang xyah nak risau2 arr..Ketua Jabatan da settlekan isu negara pawana maya panglima enam tujuh ini. Hehehehe..kita semua x jadi pindah..amacam??bez x..??” ,Khairul bertanya nakal sambil mengangkat kening.
“Horraayyyy…!”
Serta merta suasana bertukar hingar bingar. Ada yang bertepuk tangan. Tak kurang juga yang menjerit keriangan. Lupa sebentar pada batas-batas yang perlu dipelihara.
Mata Yusra berkaca-kaca. Bagaikan terpukul dengan bicara sahabatnya itu. Terasa berdosa kerana sekelip mata dia bagaikan terlupa akan tanggungjawab untuk ‘menyubur’ dan ‘memBUMIkan’ kembali Islam di kampus ini.
Teeetttt..
Dialog Iman Monolog Diri

Diri : Waalaikumussalam wbt. Lama tak nampak awak.Awak cuti ker?
Iman : Taklah, jabatan kami rasa tuan tak memerlukan kami lagi…
Diri : Laa… Kenapa pulak awak cakap camtu? pentadbiran diri aku berterabur sekarang bila jabatan awak takde..
Iman : Takdelah, kami lihat banyak pekerja tambahan tuan ambil.INTERNET,SMS,TV… Jadi kami rasa terpinggir
Diri : Entahlah, waktu cuti sebulan ni saya tak pernah menggaji mereka. Tapi mereka terlalu rajin buat kerja, bekerja tanpa gaji,tapi banyak gak duit aku habis… Entah lah…
Iman : Tu sebab, kami agak rasa tuan memencilkan kami. Al Quran, Zikir, ma’thurat, solat Malam tak boleh bekerja dengan mereka..kami memang tak boleh bercampur dengan mereka..
Diri : Saya tak pernah minta awak bercuti
Iman : bagaimana kami ingin bekerja sedangkan tuan sudah punya ‘pekerja tambahan’? Saya lihat mereka buat tuan gembira..
Diri : Argh, gembira apanya..Berterabur kerja kat pejabat tu!!tolonglah, bekerjalah dengan saya kembali
Iman : Kami sememangnya sudah berkhidmat dengan tuan dari tuan di dalam rahim ibu tuan lagi. Tapi, tuan kadang2 mengabaikan kami. Tuan sediakan makanan untuk bos pekerja tambahan, En Dosa, tapi kami, tuan tak sediakan makanan. Kebajikan kami tak terjaga…
Diri : Maafkan saya. kembalilah bekerja dengan saya. Saya janji kebajikan kamu semua saya jaga,En Iman.
Iman : Tuan boleh berjanji, tapi CEO kita akan memantau tuan, Dialah Allah.Tuan takkan tak takut menabur janji tapi melupakannya?
Diri : Janganlah menyalahkan saya.
Iman : Tuan perlu sedar, kami hanya bekerja di dalam syarikat yang bersih, dan amanah..Bukanlah saya nak memandang rendah pada jabatan baru En Dosa, tp kami tidak suka cara mereka bekerja. mereka meminggirkan kami
Diri : Dah awak tak melawan?
Iman : Tuan, bagaimana kami ingin menang? Kami terlalu lemah, sedikit pula tu, kebajikan kami langsung tuan tak jaga.. Sedangkan kami tidak pernah meminta gaji dari tuan. Cuma kami minta disediakan ruang yang bersih dan amanah untuk kami bekerja. Salahkah kami meminta yg sedikit?
Diri : Mereka kadang-kadang lebih menggembirakan saya…
Iman : Kalau begitu maafkan kami. Tak dapat rasanya kami bekerja untuk tuan lagi.Tuan perlu memberi kebajikan kepada mereka.Siapalah kami..
Diri : Ehh, janganlah begitu… Bekerjalah dengan saya.
Iman : Buanglah pekerja itu… Mereka meminta-minta dari tuan. Tuan perlu berhabis jutaan ringgit untuk mereka. Sedangkan khidmat kami adalah percuma.
Diri : Aduh, mereka pekerja yang menggembirakan aku. Memang kamu percuma, tapi kamu kadang-kadang bising, ini tak boleh, itu tak boleh… Aku rimaslah…
Iman : (senyum sinis)… Maafkan kami tuan..kami minta diri dulu… Tak perlulah kami berkhidmat dengan tuan kalau begitu… Kalau tuan perlukan kami, kami sentiasa di sisi… Tuan jangan risau, kami maafkan tuan…
Diri : jangan pergi.. Aku sanggup pecat En Dosa dan ahli jawatankuasanya, vcd, majalah yang melalaikan, dan sebagainya…
Iman : Tuan betul-betul sanggup?
Diri : Ya, aku kelam kabut sekarang… Tak tenang, management berterabur…
Iman : Alhamdulillah… kami free of charge… Tuan takkan rugi, sebaliknya tuan beruntung besar… Silap hari bulan, CEO kita; Allah SWT kita akan naikkan tuan ke pangkat yang lebih tinggi
Diri : Terima kasih… Panggillah ajk kamu bekerja semula. En Iman, saya akan jaga kebajikan kamu, panggillah En ma’thurat, En Zikir, En Solat,dan semua ahli jabatan kamu ya?
Iman : Alhamdulillah. Moga keuntungan tuan bergada-ganda tahun ini dan seterusnya
Diri : Jazakallahu khairan kathiran…
Demikianlah analogi “syarikat” dalam diri kita. Kitalah bos dalam syarikat kita. Jabatan dalam diri kita hanya ada dua; Jabatan Iman dan jabatan dosa. Kitalah yang perlu mengurus sebaik mungkin pekerja-pekerja kita. Memang susah untuk kita memenuhi setiap kehendak pekerja kita, memang susah untuk memastikan pekerja kita berbaik. Kerana antara iman dan yang dosa tidak mungkin bercampur. Bagai air sungai yang jernih, dimasukkan ke dalam gelas, segar dan nyaman air itu… Namun apabila bercampur dengan lumut, selut dan kekotoran lain, maka begitu sukarlah unutk mebersihkan kembali. Begitu juga dengan pekerja kita, andai terlalu ‘diternak’ satu jabatan, maka jabatan lain akan terpinggir.
Shared: Zhafran Zainal's note@ facebook.com
Syukran akh..jazakallahu khairan katheer..
::Gencar Amal Akhir Ramadhan::

Semarakkan ibadah pada 10 malam akhir Ramadhan
- Menghidupkan malam-malam tersebut dengan ibadah
- Mengejutkan ahli keluarga untuk sama-sama beribadah menghidupkan malam-malam tersebut
- Mengikat tali pinggang (tidak bersama isteri). Diriwayatkan daripada A’isyah r.a yang maksudnya: “Adalah Rasulullah S.A.W, apabila tiba sepuluh terakhir (Ramadhan) beliau akan menghidupkan malamnya dan mengejutkan isteri-isterinya dan mengikat tali pinggangnya (tidak bersama isteri). (Riwayat Bukhari dan Muslim).
- Mandi antara Maghrib dan Isyak dan menghiaskan diri dengan pakaian yang indah dan wangi-wangian, terutama pada malam-malam ganjil.
- Berusaha bersungguh-sungguh agar dikurniakan Lailatul Qadar. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan solat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu.”
Melakukan iktikaf di masjid pada sepuluh malam terakhir Ramadhan. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: “ Biasanya Nabi S.A.W beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan." - Membayar zakat fitrah, zakat harta dan zakat pendapatan.
- Memperbanyakkan sedekah.
Tanda-tanda Lailatul Qadar
Diterangkan dalam sebuah hadith, antara tanda-tandanya ialah:
- Udara pada malam itu amat nyaman, tiada panas dan tidak terlalu sejuk.
- Terbit matahari pada pagi esok harinya dalam keadaan putih bersih, bagaikan bulan purnama, sinarannya lembut dan tidak terik.
- Tidak terasa kepanasan pada siang harinya, walaupun matahari sangat cerah dan terang benderang.
Hikmah disembunyikan Lailatul Qadar
- Supaya kita berusaha untuk mendapatkannya.
- Supaya kita berusaha meningkatkan ibadah pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.
- Memperbanyakkan doa untuk memperolehinya.
>>Sesungguhnya, puasa adalah ibadah seorang hamba khusus untuk Tuhannya sehingga menjadi rahsia antara hamba dan penciptanya. Makhluk lain tidak mengetahuinya melainkan Allah Taala semata-mata. Niat yang tersembunyi hanya Allah sahaja mengetahuinya. Oleh itu, dapatkah seseorang itu mengetahui di kalangan mereka yang berjaya menempuh ujian Ramadhan dan bakal mendapat hadiah daripada Allah S.W.T? Tiada siapa yang dapat mengetahuinya. Hanya Allah sahaja yang mengetahui siapa yang berjaya dan siapa yang gagal. Oleh itu, marilah kita sama-sama gencarkan 10 malam terakhir Ramadhan dengan beribadat sepenuh pengharapan kepadaNya agar kita terpilih untuk menjadi tetamu malam seribu bulan.<<







