Tuesday, May 31, 2011 0 comments By: HIDAYATUL MUSTAQIMAH

Problem & Solusi Kaderisasi

Penulis: Abdul Hamid Al-Bilali

Penyataan:

Berikut beberapa masalah yang biasa dihadapi oleh Mutarabbi dalam gerakan dakwah:

  1. Taksub Individu (Intima’ Syakshi)
  2. Tidak Menerima Pendapat Orang Lain
  3. Kebiasaan Terlambat ke Halaqah/Program
  4. Kekeringan Ukhuwah
  5. Cinta Populariti dan Kepimpinan
  6. Tidak Berterus Terang
  7. Terlalu pentingkan aspek Ruhiyah hingga abaikan aspek Harakiyah

Masalah 1:

Taksub Individu (Intima’ Syakshi)

Identifikasi:

  • Tarbiyah secara prinsipnya berusaha untuk kukuhkan hubungan mutarabbi dengan Allah SWT. (Paling kukuh: hablumminallah)
  • Oleh itu, hendaklah dihindarkan sikap terlalu mengagung-agungkan murabbi atau peribadi tertentu. Ini kerana manusia dapat saja berubah keadaannya.
  • Aspek negatif yang akan timbul daripada sikap ini adalah berubahnya mutarabbi apabila individu yang diagungkan itu berubah/sudah tiada. (Bertukar murabbi dll)

Indikasi:

  • Tidak dapat bersabar (kecewa) apabila berpisah dengan individu yang diidolakan itu.
  • Sering memetik kata-kata/ucapan individu tersebut untuk setiap isu.
  • Jika terdapat kekeliruan dalam pendapat individu itu, sering mentafsirkannya seolah-olah bukan kekeliruan.
  • Terlalu bersemangat mengikut perilaku individu tersebut, walaupun perkara yang salah/keliru.
  • Berusaha membela kesalahan individu itu di hadapan orang lain, walaupun ternyata kesalahan itu di pihaknya.
  • Menjauhi Jemaah apabila idolanya itu menjauhi Jemaah.

Latarbelakang:

  • Wujudnya kehebatan yang menonjol pada diri Murabbi (cth: Keilmuan, Akhlak, Kekayaan, Kerjaya, Kehebatan dalam penyampaian, Ketampanan dll).
  • Hubungan awal dengan mutarabbi tidak terbangun atas dasar kesamaan fikrah, tapi lebih kepada hubungan personal dan emosional.
  • Sering berlaku interaksi yang tidak bermanfaat antara keduanya, semata-mata kerana adanya keserasian watak dan peribadi.
  • Mutarabbi kurang cukup waktu untuk membangunkan asas keimanan dirinya (LemahnyaTarbiyah Imaniyah).
  • Kurang fokus terhadap masalah Cinta. (Batas cinta terhadap makhluk dan cinta Allah).
  • Salah dalam proses pembentukan mutarabbi sejak awal (berawal dengan orientasi Individu).
  • Murabbi kurang perhatikan kesalahan-kesalahan hubungannya dengan mutarabbi.
  • Keperibadian murabbi terlalu kuat hingga mutarabbi begitu bergantung kepadanya.

Solusi:

  • Ketika awal Tarbiyah: Fokus kepada pengenalan nilai-nilai yang fahamkan maknahablumminallah dan Al-Hubb lillahi wabillahi.
  • Tanamkan dengan kukuh prinsip keimanan pada mutarabbi, khususnya erti syirik dan cinta kepada Allah.
  • Temukan dengan murabbi-murabbi lain yang juga hebat dan mantap.
  • Tegur dan ingatkan secara langsung kepada mutarabbi yang tertimpa masalah ini. Jangan biarkan ia berterusan. (Mutarabbi milik Dakwah, bukan milik Murabbi)
  • Bincangkan permasalahan ini secara umum (forum atau diskusi) yang dihadiri oleh mutarabbi, murabbi dan tokoh-tokoh dakwah lain.
  • Jauhi sikap terlalu emosional dan sentimental dalam proses takwin mutarabbi. (Seimbangkan peranan Walid, Syeikh, Qaid & Ustaz).

Masalah 2:

Tidak Menerima Pendapat Orang Lain

Identifikasi:

  • Mutarabbi tidak dapat terima pendapat orang lain yang bertentangan dengannya.
  • Jika berbicara dia sama sekali tidak berikan kesempatan kepada lawan bicaranya untuk kemuka pandangan.
  • Emosional dan sukar untuk sekadar mendengar dengan baik pendapat orang lain.

Indikasi:

  • Segera potong perbicaraan orang lain yang tidak sependapat dengannya (tidak dengar hingga habis perbicaraan).
  • Bersikap emosional ketika mendengar pendapat yang bertentangan dengan pendapatnya.
  • Muncul sikap melawan dengan keras pendapat pihak yang bertentangan (kadang-kadang tanpa hujah yang logik).
  • Hanya lihat sisi negatif pendapat yang bertentangan (tidak lihat sisi positifnya).
  • Tidak akui kesalahan sendiri.

Latarbelakang:

  • Bangga terhadap pendapat sendiri.
  • Tidak terbiasa dengar pendapat orang lain yang berlawanan dengannya (sering dimenangkan pendapatnya).
  • Berburuk sangka (su’u dzon) kepada orang yang miliki pandangan berbeza dengannya.
  • Dia kurang suka atas pendapat orang yang sebelum ini pernah miliki sifat kurang terpuji terhadap Jemaah.
  • Wujud kepercayaan diri yang berlebihan dan keyakinan pendapatnya pasti benar (mungkin atas kapasiti ilmu dan pengalamannya).
  • Dia khuatir keburukan terhadap Jemaah jika mewujudkan pendapat yang bertentangan dengan pendapatnya (mungkin pendapat oleh orang yang lebih muda/kurang keilmuan daripadanya).
  • Karakternya yang memang emosional.
  • Memang wujudnya perasaan yang tidak harmoni di antara dirinya dengan orang yang berlawanan tadi.
  • Tidak biasa terlibat dengan program dan aktiviti Jemaah, hingga dia tidak dapat terima pendapat Jemaah secara umum.
  • Memang suka perdebatan.
  • Pengaruh didikan keluarga (mungkin dibiasakan dengan sikap bapa yang keras dan suka menangkan pendapat sendiri dll).

Solusi:

  • Ketika awal Tarbiyah: Kenalkan kepadanya etika berselisih dan berbeza pendapat.
  • Melalui manhaj Tarbiyah, tegaskan bahawa tidak semua khilaf itu tercela (Untuk kembangkan amal dakwah adalah terpuji, jika berdasarkan permusuhan itu yang tercela).
  • Mentarbiyahnya dengan sikap toleransi, murah hati, kasih sayang dan cara yang baik dalam sampaikan pendapat.
  • Perlu simulasikan kebiasaan debat yang sepatutnya, dan mendengar segala bentuk cara pandang/pendapat yang berbeza tentang sesuatu isu (Dakwah dan Tarbiyah).
  • Ditampilkan contoh praktikal toleransi Jemaah ketika berhadapan dengan pendapat orang lain.
  • Tanamkan bahawa menerima pendapat orang lain tidak mengurangi harga diri dan kedudukannya.
  • Ditarbiyah agar tidak berbangga dengan pendapat sendiri, apatah lagi jika tidak disandari dengan hujah yang jelas.
  • Dididik untuk mampu terima kenyataan bahawa kebenaran itu boleh jadi pelbagai. (contoh Kisah perintah Nabi SAW untuk solat Asar di Bani Quraizoh).

Masalah 3:

Kebiasaan Terlambat ke Halaqah/Program

Identifikasi:

  • Selalu tidak berdisiplin untuk hadir tepat pada waktu yang telah ditetapkan ke Halaqah/program.
  • Jika terlambat atas halangan yang tidak dapat diatasi, tidak mengapa. Tapi, kadang-kadang terlambat disebabkan sengaja menunda-nunda masa ke program.
  • Keterlambatan ini sering memberi kesan negatif kepada diri mutarabbi itu dan juga orang lain.

Indikasi:

  • Hadir di tengah-tengah Halaqah/program, kadang-kadang ketika sudah hampir tamat.
  • Akhirnya, banyak timbulkan pertanyaan tentang pelbagai hal sedangkan ia telah pun dibincangkan sebelumnya.
  • Dia bersikap tidak peduli atas kelewatannya dan ketidakhadirannya dalam aktiviti sebelumnya.
  • Dia memang terbiasa lambat dalam solat, kerja dan ke kelas.
  • Dia tidak suka mengambil tahu tentang waktu halaqah/program bermula, masa tamat, bahkan tempat program.
  • Tiada orang yang mahu menasihatinya untuk berdisiplin kerana sudah merasa tidak yakin dia dapat berubah.

Latarbelakang:

  • Dia disibukkan oleh urusan peribadinya (diri, keluarga, rakan-rakan) di saat berlangsungnya Halaqah/program.
  • Dia mempunyai bebanan urusan lain yang tidak mungkin dapat dikerjakan kecuali pada saat Halaqah/program dilaksanakan.
  • Dia tidak mampu mengatur masa dengan baik (Baginya waktu tidak dianggap penting).
  • Terlalu banyak beban tugas yang mesti dikerjakannya.
  • Waktu yang dipilih untuk dilaksanakan Halaqah/program tidak sesuai.
  • Keterlambatan orang lain mendorongnya melakukan hal yang sama.
  • Halaqah/program sering dimulakan tidak tepat pada waktu yang ditetapkan.
  • Agenda Halaqah/program hambar, tidak menarik dan kurang variasi.
  • Wujudnya masalah-masalah peribadi dalam dirinya.
  • Ada program lain yang lebih menarik di tempat lain pada waktu yang bersamaan.
  • Dia tidak merasa memiliki peranan yang bererti dalam Jemaah.
  • Dia tidak sedar kepentingan kehadiriannya di dalam Halaqah/program dan pengaruh kelewatannya kepada orang lain.
  • Murabbi/AJK program juga sering lambat ke Halaqah/program.
  • Murabbi/AJK program kurang memperingatkan perihal kelewatan ke Halaqah/program, apatah lagi memberi denda.

Solusi:

  • Mempertimbangkan usia dan keadaan Mutarabbi/peserta ketika memutuskan masa Halaqah/program.
  • Koordinasi dengan Jemaah atau pihak lain agar tidak berlaku pertembungan masa program.
  • Adakan pertemuan khusus (individual) dengan mutarabbi untuk ketahui masalah diri dan dalamannya.
  • Perlu ada variasi dan inovasi dalam Halaqah/program agar tidak menjemukan mutarabbi/peserta.
  • Memberikan peranan kepada mutarabbi dalam Halaqah/program yang dijalankan.
  • Menerangkan secara konsisten kepada mutarabbi/peserta kepentingan Halaqah/program dan kepentingan mereka hadir tepat.
  • Jelaskan pada bahawa kebiasaan terlambat dari waktu yang disepakati bersama itu ada kaitannya dengan sifat-sifat orang munafiq.
  • Membantu mutarabbi agar mengatur waktunya sesuai dengan masa Halaqah/program.
  • Memberi peringatan kepada mutarabbi/peserta yang terlambat, baik secara langsung atau sindiran (sesuai dengan diri individu).
  • Para murabbi dan AJK program hendaklah menjadi contoh dalam hal hadir awal.
  • Menganjalkan waktu Halaqah/program dari semasa ke semasa (berdasarkan kesesuaian).
  • Mengambil pendapat mutarabbi/peserta ketika merancangkan masa Halaqah/program.
  • Buat buku catatan kehadiran untuk ketahui disiplin peserta.
  • Menugaskan seorang PIC khusus untuk mengingatkan mutarabbi tentang Halaqah/program.
  • Siapkan hadiah sebagai kejutan kepada mereka yang hadir tepat pada waktu Halaqah/program.

Masalah 4:

Kekeringan Ukhuwah

Identifikasi:

  • Ada fenomena di mana Ukhuwah Islamiyah yang diserukan dan diajarkan Islam berubah menjadi formal dan hambar.
  • Hubungan seakan-akan antara pekerja dengan majikannya yang diikat hanya dengan peraturan dan urusan administratif sahaja.
  • Hubungan menjadi terlalu kaku, formal dan tiada ruh yang mengikat di dalam Halaqah.

Indikasi:

  • Tiada rasa saling mencintai sesama ahli Halaqah.
  • Tiada suasana saling bertanyakan keadaan diri masing-masing di waktu kesempitan.
  • Tiada yang menziarahi ketika sakit dan bertakziah jika salah seorang kerabat meninggal.
  • Hilangnya suasana saling menyambut dengan baik dan bermesra ketika bertemu.
  • Tidak saling berhubung, baik melalui telefon, emel apatah lagi saling berkunjung ke rumah/bilik.
  • Menghindar untuk memberi bantuan kepada ahli halaqah lain di saat diperlukan.

Latarbelakang:

  • Lemahnya penekanan terhadap aspek ukhuwah di dalam Halaqah/program.
  • Murabbi kurang memberi teladan dalam aspek Ukhuwah Islamiyah.
  • Dominannya aspek administratif dalam Tarbiyah berbanding aspek Keimanan dan Kerohanian.
  • Minimanya program-program Tarbiyah yang bertemakan ruhi (keimanan dan ukhuwah).
  • Kurang pengetahuan tentang kepentingan kewajipan berukhuwah.
  • Kurang pertemuan yang bersifat keimanan dan ukhuwah di luar Halaqah/program (contoh Solat Jemaah bersama di masjid, qiam, tilawah bersam dll).
  • Sering berlaku pertukaran mutarabbi (perpindahan Halaqah dll). Akibatnya tiada kesempatan untuk kenal dan mengikat silaturrahim dan ukhuwah.
  • Tidak ada kesesuaian karakter di kalangan mutarabbi (mungkin kecenderungan terlalu berbeza).
  • Wujudnya perbezaan tujuan/motivasi mutarabbi dalam berdakwah (visi tidak sama antara mutarabbi).
  • Gersangnya jiwa hingga tidak mampu menaklukkan dan menarik hati orang lain.

Solusi:

  • Tekankan pada aspek ukhuwah dan perhatian serius padanya (sebelum pelaksanaan kerja-kerja yang bersifat administratif).
  • Tekankan aspek ukhuwah dalam Manhaj Amal (dalam Halaqah/Program Tarbiyah/Dakwah).
  • Tambah kekerapan kebersamaan antara ahli Halaqah dalam aktiviti amal Jama’I (kukuhkan taaruf dan tafahum).
  • Terjemahkan teori-teori ukhuwah ke dalam amal nyata bagi memperat kecintaan antara ahli Halaqah (Murabbi tunjukkan teladan).
  • Bingkaikan peraturan administrasi dengan nilai-nilai keimanan dan ukhuwah (kaitkan setiap aspek pengurusan dengan ikhlas, itqan, amal jama’I, ta’awun dll).
  • Pilih seorang PIC dalam Halaqah yang akan sentiasa menghidupkan dan mengingatkan ahli lain akan suasana ukhuwah (Tugas: Cadangkan idea-idea baru untuk segarkan ukhuwah).
  • Saling beri hadiah antara ahli Halaqah.
  • Buat seminar tentang “Komunikasi” dan “Seni Berinteraksi”.
  • Tingkatkan dan sebarkan unsur-unsur keimanan dalam semua ahli Halaqah (akan bangkitkan dan tautkan hati mutarabbi dalam akidah dan fikrah yang sama).

Masalah 5:

Cinta Populariti dan Kepimpinan

Identifikasi:

  • Abdul Rahman bin Samurah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda padanya:

“Wahai Abdul Rahman, janganlah meminta jawatan pemimpin, sebab jika kau diserahkannya kerana meminta maka semua menjadi tanggungjawabmu. Dan sekiranya kamu diserahinya tanpa meminta, maka kamu akan dibantu untuk menunaikannya…” (HR Muslim)

Cintakan populariti dan kepimpinan adalah ketika seorang meminta tanggungjawab kepimpinan dan ingin sentiasa tampil di hadapan orang ramai.

Indikasi:

  • Suka memaksakan pendapatnya dan tidak mahu mengalah, meskipun ternyata salah.
  • Jika menjadi AJK biasa, kelihatan tidak bersemangat dalam bekerja.
  • Berusaha menjatuhkan/menggagalkan perancangan orang lain yang tidak datang daripadanya.
  • Selalu berusaha menonjolkan kepandaian dan keilmuannya.
  • Berlebihan dalam menilai perkara-perkara yang berkaitan langsung dengannya.
  • Nampak bahawa dia tidak bersahabat dengan orang yang berprestasi menonjol. Juga sering merendah-rendahkan mereka (agar prestasinya tidak tenggelam).
  • Sering tidak hadir/menghindar dari tugas-tugas yang dilihat tidak mengangkat popularitinya.
  • Sering mengkritik, baik ada sebab atau tanpa sebab.
  • Jelas kelihatan mempunyai cita-cita terhadap jawatan kepimpinan.

Latarbelakang:

  • Ada niat lain yang bersamanya ketika menyertai dakwah (Tidak ikhlas kerana Allah, tapi untuk dikenal ramai dan memegang kepimpinan).
  • Pendidikan keluarga yang memang begitu (keluarga pemimpin dan orang terkenal).
  • Murabbinya mungkin lebih rendah keilmuan daripadanya (juga ahli Halaqah lain tidak setingkat dengan keilmuannya).
  • Awal Tarbiyahnya tidak dibina aspek keikhlasan dan akhlak dalam beramal.
  • Pemberian tanggungjawab yang terlalu awal kepadanya (belum betul-betul matang, buat jadi seronok dipuji dan ditonjolkan).
  • Pengaruh jawatan yang dipegangnya memang tinggi dan penting (biasa mengarah orang lain).

Solusi:

  • Tanamkan ruh Tajarrud (totality) hanya kerana Allah SWT sejak awal Tarbiyah.
  • Jelaskan padanya prinsip keikhlasan dalam beramal.
  • Tidak serahkan tanggungjawab (jika dikesan akan semarakkan rasa cintakan popularitinya).
  • Jelaskan beratnya tanggungjawab yang akan disoal di hadapan Allah nanti.
  • Ahli Halaqah yang lain tidak memuji di hadapannya.
  • Diberi perhatian khusus untuk memantau perkembangan peribadinya dan berusaha memberi terapi.
  • Jika tidak berkesan dan menimbulkan perbalahan/perpecahan dalam Jemaah, maka mesti dikeluarkan dari Jemaah (worst case scenario).

Masalah 6:

Tidak Berterus Terang

Identifikasi:

  • Wujud sikap tidak mahu berterus terang mutarabbi kepada murabbinya, baik permasalahan peribadi atau permasalahan dalaman Jemaah.
  • Kesannya, sikap ini akan perbesarkan lagi masalah itu sendiri, dan boleh sebabkan mutarabbi berpisah dari Jemaah.

Indikasi:

  • Lemahnya interaksi mutarabbi dengan murabbi/mas’ul.
  • Cenderung untuk tidak berbicara dan selalu diam.
  • Tidak sertai diskusi musykilah dalam halaqah, mahupun dalam perbincangan santai sesama ahli Halaqah.
  • Suka sembunyikan aktiviti-aktiviti luarnya (non-Jemaah), khususnya aktiviti yang mengurangkan keaktifannya dalam aktiviti Jemaah.
  • Selalu mencari alasan/minta kebenaran untuk tidak hadir ke program/aktiviti Jemaah.

Latarbelakang:

  • Dia kurang memahami prinsip Amal Jama’i.
  • Lemahnya tsiqah kepada Murabbi/Mas’ul.
  • Dia berpandangan apa yang disembunyikannya itu adalah masalah peribadinya yang orang lain tidak patut mengetahuinya.
  • Dia tidak berusaha mengukuhkan hubungan dengan ahli Halaqah yang lain.
  • Murabbi kurang memiliki kemampuan berkomunikasi dan berinteraksi.
  • Murabbi kurang memiliki keahlian dalam menjawab dan menyelesaikan permasalahan mutarabbi.
  • Karakter peribadi yang sememangnya introvert dan tidak suka orang lain ketahui hal-hal peribadinya.
  • Dia tidak menyedari kesan buruk sikap diam akan masalahnya itu (masalah tidak selesai dan beri pengaruh negatif kepada banyak pihak).
  • Dia merasa air mukanya jatuh apabila permasalahan peribadinya diketahui orang lain.
  • Wujud sifat malu yang terlalu mendominasi perasaannya.

Solusi:

  • Sentiasa lakukan aktiviti mengukuhkan jalinan ukhuwah antara ahli Halaqah dari semasa ke semasa.
  • Tidak perlu nampakkan sikap terlalu kagum terhadap sebahagian mutarabbi yang berprestasi menonjol (boleh rendahkan diri mutarabbi yang kurang menonjol).
  • Jelaskan prinsip beramal Jama’I sejak awal bergabung dalam Dakwah (diharapkan lahirnya keterbukaan dan kepercayaan).
  • Tidak perkecilkan permasalahan yang dihadapi oleh mutarabbi, dan ambil masa yang sewajarnya untuk selesaikan permalahan (mutarabbi akan rasa dihargai dan diambil berat).
  • Hindarkan kritikan atau celaan terhadap mutarabbi yang menceritakan masalahnya di hadapan mutarabbi lain.
  • Berikan ruang kepada mutarabbi seluas-luasnya untuk mengekspresi diri dan berbicara tentang peribadinya.
  • Tunjukkan perhatian atas setiap cadangan, usul dan pendapat yang dikemukan mutarabbi, meskipun untuk hal-hal yang remeh/tidak terlalu penting.
  • Ajak mutarabbi bersama-sama dalam diskusi formal/santai ikhwah-ikhwah (bagi tanamkan kebersamaan dan prinsip tsiqah kepada orang lain).
  • Tidak memperbesar-besarkan kesalahan yang dilakukan mutarabbi dan mempermudahkan penyelesaiannya.
  • Jika mutarabbi menceritakan permasalahan peribadinya, yakinkan bahawa ia tidak akan diceritakan kepada orang lain.
  • Mutarabbi selalu ambil berat hal-hal peribadi mutarabbi (agar mereka sentiasa rasa diperhatikan dan diambil berat).


Masalah 7:

Terlalu pentingkan aspek Ruhiyah hingga abaikan aspek Harakiyah

Identifikasi:

  • Lemahnya pelaksanaan tugas di bidang aktiviti gerakan dakwah kerana lebih mengutamakan aspek ‘ubudiyah dan ruhaniyah.

Indikasi:

  • Selalu menghindar/uzurkan diri dari tugas-tugas yang bersifat haraki (aktivisma dan gerakan).
  • Tidak hadiri aktiviti-aktiviti yang bersifat haraki, sebaliknya gemar ke program-program yang bersifat ‘ubudiyah.
  • Banyak membaca buku-buku tentang keimanan, kurang membaca buku tentang dakwah dan harakah.
  • Terlalu banyak membincangkan persoalan-persoalan keimanan dan akhirat (jika topik tentang aktivisma dan gerakan tidak berminat).
  • Lebih suka mengasingkan diri (baca quran atau iktikaf sendirian) dan kurang bertemu dengan ahli Halaqah yang lain.

Latarbelakang:

  • Awal Tarbiyahnya terlalu tekankan persoalan-persoalan keimanan dan abaikan aspek dakwah dan harakah.
  • Rasakan penyesalan di atas perbuatan-perbuatan lalu yang menyimpang, hingga tidak sanggup sia-siakan kehidupan sekarang (menurut dugaannya) untuk hal-hal yang tidak bermanfaat kepada iman.
  • Tidak mengetahui kepentingan dan keutamaan aktiviti dakwah dan amal Jama’I.
  • Dia melihat kesalahan besar dalam kegiatan bersifat Harakah/Aktivisme yang menyebabkannya memilih untuk tidak turut serta.
  • Terpengaruh secara mendalam oleh individu-individu teladan yang bersikap demikian, baik di masa lampau atau masa sekarang.
  • Dia mengira bahawa syiar-syiar ‘ubudiyah lebih utama daripada aktiviti dakwah kepada Allah.
  • Pengaruh keluarga di mana dia dibesarkan, dan di situlah terbentuk corak keperibadiannya.
  • Pemahaman yang salah pada sebahagian buku-buku bacaannya tentang keimanan (contoh memahami konsep uzlah).

Solusi:

  • Sejak awal Tarbiyah: Mutarabbi hendaklah dilatih dan dibiasakan untuk bergaul dan berinteraksi dengan ikhwah yang lain (membina kebersamaan).
  • Mesti ada keseimbangan antara Tarbiyah Imaniyah dan Tarbiyah Dakwiyah Harakiyah.
  • Fokuskan perhatian kepada hakikat Dakwah Ilallah dan jelaskan dalil-dalilnya, juga pahala yang agung yang dijanjikan Allah SWT.
  • Biasakan mutarabbi baru agar melakukan konsultasi dahulu sebelum membaca buku (supaya tidak salah pilih buku).
  • Memberikan perhatian khusus kepada mutarabbi yang putus asa dalam berharakah.
  • Usaha untuk ciptakan aktiviti yang sesuai dengan karakter mutarabbi seperti itu agar potensinya dimanfaatkan.
  • Perhatikan sejak awal kecenderungan mutarabbi dan meluruskan arahnya sebelum terlambat.
  • Sentiasa awasi dan pastikan para mutarabbi telah menerima Manhaj secara penuh (meliputi unsur Ruhi, Fikri dan Dakwi).
  • Berikan keyakinan tentang keutamaan menuntut ilmu, mengajarkannya dan menyampaikan risalah Dakwah.


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Wednesday, May 25, 2011 0 comments By: HIDAYATUL MUSTAQIMAH

Wahai da'ie, jangan malas!


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..


Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah..Dengan limpah dan kasih sayangNya, saya masih diberi peluang untuk terus menghirup nafas kedamaian, di dalam nikmat islam dan iman. Terus dibelai keasyikan dan kemanisan ukhuwah fillah bersama akhawat meski kini jasad kami jauh terpisah. Terkadang rasa cemburu menyelinap ke segenap urat nadi pabila melihat hamasah mereka dalam menggencarkan dakwah di bumi selatan itu, tanpa langsung mengenal erti penat lelah.


Makan, ingat dakwah. Mandi, ingat dakwah. Berbual, pasal dakwah. Sampaikan tidur pun, mimpi dakwah,syuro dan adik-adik. Semuanya pasal dakwah dan islah ummah. Bagaikan seluruh jiwa raga dan jasad mereka sudah diinfaqkan sepenuhnya untuk dakwah. Sedangkan saya di sini..Di rumah.. Elok saja ‘bergoyang kaki’. Alangkah ruginya diri ini, tidak dapat bersama-sama mereka. Hmm..saya selalu memujuk diri ini, “Mungkin Allah mahu aku berehat sementara. Mungkin selepas ini banyak lagi tugasan dan tanggungjawab yang akan dipikul..”


TAPI…..


“Sampai bila…..??”


Hanya Dia yang tahu.


*******************************************


Teringat perbualan bersama bonda tercinta sewaktu kami sama-sama lepak di ruang makan petang semalam.



Puan Ibu: (Baru pulang dari kerja, terus join saya yang sedang melayan perasaan menghadap pohon kuini. Hehe..)


“Camne hari ni Long, ok?”


Saya: Hmm..Alhamdulillah, ok je. Cuma kadang-kadang ‘dia’ datang ‘singgah’. Hehe..


Puan Ibu: [ mengerutkan dahi ]


Saya: [ senyum ] Tak la..Cuma kadang-kadang. Ehh, bukan kadang-kadang. Tapi, selalunye rasa kebas kat kaki ni. Rasa macam urat bengkak dan membengkak dengan majunya. Sampai kaki ni tak rasa pape. Rasa tak jejak bumi. Huhu.. [ buat muka comel ]


Puan Ibu: Ni mesti kes banyak berdiri nih.


Saya: Ala mak..Duk kat dapur je pun. Bukan along lari pecut ke apa. Setakat kerja ringan je. Kalau dah hari-hari kebas macam ni, along nak buat apa lagi. Kena biasakan la kan..? [ senyum lagi ]


Mak: Yela.. Tapi kena jaga juga. [ muka risau ].


Saya: Macam leceh je kan mak? Kesian siapa-siapa jadi suami along nanti. Badan ni ‘manja’ sangat. Mesti dia pikir along ni pemalas kan? [ sedih ]


Puan Ibu: Aiihh..ke situ pulak dia. Ni ha, apoiment ngan pakar ahad ni kan? Tolong ingatkan mak, lepas je along siap kita pergi lawat pesakit yang satu wad ngan along tu. Mak memang dah lama pasang niat, time apoiment along nak pergi lawat dia.Kak Nordiana kata dia still lagi kat situ.


Saya: InsyaALLAH puan. Huhu.. Emm.. Yang sakitnya sama macam along tu ke? Tapi bukan ke dalam 4,5 orang jugak yang sama macam along hari tu. Yang mana ni mak?


Puan Ibu: Yang duk kat hujung tu….


Saya: [ garu-garu kepala ] Mengangguk. Dalam hati berkata “Hujung mana? Along mana sedar masa tu..Spek pun tak pakai.” Huhu..


Puan Ibu: Mak kesian kat dia long.. Masa last jenguk dia hari tu, botak dah kepala budak tu. Habis gugur. Badan pun macam dah xde isi je. Dekat lapan tahun juga dia menderita sakit nih. Tu yang mak risaukan along. Makan kena la tengok-tengok sikit. Pantang tu kena jaga. Kerja jangan berat-berat. ‘Benda’ tu tak kenal mana tuan, mana lawan..Semua diserangnya.


Saya: [ tunduk ] Emm..Nak wat cmane mak. Ubat tu buat along makin berselera. Semua benda yang boleh dimakan nak dibedal. Mak salahkan la ubat tu. [ tersengih sampai nampak gigi ]


Puan Ibu: Menjawab..menjawab…


Saya: [ sengih lagi ] Mak, bukan ke kakak pada kawan Achik pun sama wad ngan along hari tu? Tapi last tahu pasal dia, khabarnya masuk icu kan? Camne dia? Kita gi lawat dia sekali eyh?


Tiba-tiba muka mak berubah.


Puan Ibu: Dia dah xde long…[ lemah suara mak ]


Perlahan tetapi jelas di pendengaran saya.


Saya : Innalillahi wa inna ilaihi roji’un..


Diam sebentar.


Puan Ibu: Achik yang bagitahu. Mak tak sempat nak bagitahu along masa along kat kampus aritu. Semua orang terkejut. Dalam masa tak sampai beberapa tahun, ‘benda’ tu dah serang semua organ dalaman arwah. Buah pinggang, paru-paru, jantung..semua lah.Baru lagi. Baru dalam 5 tahun ‘benda’ tu singgah. Doktor pun terkejut. Biasanya paling kurang, dalam 10 tahun. Hmmm..kerja Tuhan kan long. Arwah pergi hari Jumaat. Semua pelawat cakap, arwah ‘tersenyum’ je sepanjang proses pengebumian.


Saya: [ mengangguk perlahan ]


Diam. Terkelu. Dalam hati berbisik.


“Semua kerja Allah. Dia Maha Kuasa atas tiap sesuatu. Dia yang menghidupkan. Dia jua yang mematikan. Dia yang memberi sakit. Dia jua yang menyembuhkan. Semuanya kehendak Dia. Bukan kesembuhan yang diharapkan. Tetapi sejauh mana pergantungan aku padaNya.”


Contoh sudah terpampang di depan mata. Lihat mereka yang sakitnya sama macam saya. Ada yang berbelas tahun menderita sakit ini. Tapi, mereka masih bertahan hidup. Ada jua yang baru setahun jagung menghidap penyakit ini, tetapi terlebih dahulu menghadap Ilahi.


Ya. Mati itu pasti dan akan terus mendekati. Usah diragui. Jangan sesekali didustai. Cukuplah mati itu menjadi peringatan untuk orang-orang yang beriman.


"Dan telah datanglah sakaratul maut yang sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya." (Surah Qaf : ayat 19)


"Maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya." (Surah Al-A'araf : ayat 34)


Benar, mati itu pasti. Tapi sejauh manakah persiapan dan bekalan yang ingin dibawa ke sana?Jujur saya katakan, yelah sebagai manusia biasa kadang-kadang perasaan tidak enak itu menjengah. Bermacam perkara bermain di benak fikiran. Kenapa saya terlampau lemah? Seolah-olah saya menjadikan sakit ini sebagai alasan untuk ‘meloloskan’ diri dari tanggungjawab.Sampaikan saya merasakan diri ini tidak berguna. Rasa malu. Malu yang teramat. Hadiah apa yang ingin saya persembahkan bila menghadapNya nanti? Terkadang hati kecil ini menjerit. Serasa ingin memuntahkan segala kekecewaan yang sesekali merenggut ketenangan jiwa. Kecewa pada diri sendiri. Kecewa kerana tidak mampu menjadi sekencang akhawat dalam menggencar amal. Hati kecil ini seolah-olah menyindir.


“ Syirah, apa yang sedang kau lakukan ni? Masih dibuai lena yang panjang? Sampai bila? Sampai bila? Sedangkan kau tahu MAKSUD dan TUJUAN HIDUP atas dunia yang sementara ini. Kau jangan berlagak angkuh Syirah. Jangan jadi pemalas.”


Astaghfirullahal’azim..Ampuni dosa-dosaku Ya Tuhan. Jangan lah Kau bolak-balikkan hatiku sesudah Kau memilihku untuk berada di jalan ini. Berilah aku kekuatan untuk aku laksanakan segala tanggungjawabku pada agamaku.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Monday, May 23, 2011 1 comments By: HIDAYATUL MUSTAQIMAH

Nota Buat Mujahidah Dakwah


.:: Dalam diari seorang pejuang, tiada masalah yang tidak merumitkan, Ujian yang tidak melemahkan, Dugaan yang tidak menyusahkan. Bahkan itu semua dijadikan batu loncatan untuk lebih hebat. Mereka tepu dengan dugaan. Cuma sesekali air mata mengalir menerjah pipi, lambang kekerdilan kudrat hamba. Berdepan dengan ‘belaian’ PENCIPTA. Terus senyum walau payah dan susah diuji. Jadilah mata rantai perjuangan yang suci ini. Moga tabah menghadapi.. ~Deq Syahirah Sayang~


.:: Hidup seorang pejuang tak sunyi dari ranjau berduri. Ketahuilah..tanpanya mungkin tak teruji tahap keimananmu. Bertuah insan yang diujiNya kerana..DIA menyayangi hambaNya yang beriman. Dan Tuhan tidak akan menguji hambaNya selain kemampuan yang ada padanya. Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu bersedih hati padahal kamu lah orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang yang beriman (3:139) Uhibbuki fillah ukhti ^__^ ~Deq Halimah Sayang~


.:: Jika sejuta masalah datang dalam kehidupanmu, kemana kau berlari..?? Jika saat itu kau mencari pertolongan dengan kebendaan, itulah kegagalan dalam hidupmu. Kau akan menderita selamanya. Tapi.. jika kau adukan masalahmu kepada Tuhanmu, kau akan bahagia di dunia yang sementara dan akhirat yang selamanya. Ketahuilah.. masalah selesai atau tidak, itu bukanlah maksudnya. Tapi pergantungan kepada Allah S.W.T . Itulah suatu kejayaan yang besar.

~Ukhti Sakinah Sayang (Murabbiah Tercinta)~


.:: Tahukah kamu sahabatku? Jika kau merasa penat dan tak berdaya kerana usaha yang terasa sia-sia.. Allah tahu betapa kuat kau berusaha. Ketika kau menangis dan hatimu terasa kepedihan..Allah sudah pun menghitung air matamu. Jika kau fiki hidupmu sedang menunggu sesuatu dan terasa waktu berlalu begitu sahaja..Allah sedang menunggu untuk bersamamu. Ketika kau sendiri tanpa ada teman-teman menghiburkanmu..Allah sentiasa di sampingmu. Ketika kau fikir kau telah mencuba segalanya dan tidak tahu membuat keputusan..Allah ada jawapannya. Ketika kau kegelisahan.. Allah ada untuk menenangkanmu. Ketahuilah wahai sahabatku sayang..Betapa Allah amat menyayangimu. ~Ukhti Anis RBT Sayang~


.:: Hati ini kadangkala perlu diketuk dengan ujian, agar ia terdidik untuk tidak sentiasa selesa pada ‘kesukaan’, tapi juga selesa dengan ‘kesakitan’.. Oleh itu, senyum dan terimalah apa jua ujian yang mendatang. Walau suka mahupun duka. Kerana yang suka itu anugerah dan yang duka itu tarbiyyah dari Ilahi buat hambaNya yang dikasihi.


.:: Aku selalu ingin sahabatku itu tahu..yang aku sudah jadikan dia sebahagian daripada kecintaanku, tidak lain hanyalah kerana ALLAH. Aku ingin sahabatku itu selalu mengerti, yang aku perlu doa darinya..Agar tetap kakiku di jalan ini. Aku ingin sahabatku selalu faham, aku punya banyak kelemahan yang terkadang mungkin melukainya dan membuatkan dia tidak senang. Jadi wahai sahabatku yang dirimu sentiasa di hati, maafkan tiap khilafku. Mungkin tidak mampu untuk aku hilangkan parut luka di hatimu. Tapi aku sentiasa berharap untuk menjadi sahabt yang setia di sisi. Dalam payah dan senangmu. Kerana persahabatan kita tertaut demi cintaNya.. ~Ukhti Atikah Sayang~


.:: Ya Allah..Izinkan ukhtiku menjadi sekuntum bunga yang dihiasi dengan kelopak akhlak mulia, harum wanginya dengan ilmu agama. Cantiknya kerana Iman dan Taqwa. Namun keindahan zahirnya disimpan rapi, biar menjadi rahsia yang kekal abadi. Bukan perhatian mata ajnabi, yang menjadi punca fitnah hati dari laki-laki berjiwa sepi. Wajahnya bukan mengundang dosa, timbulkan diri memagari diri agar terpelihara dari noda duniawi yang menghilangkan harum sejati untukmu calonkan dirinya sebagai bidadari SyurgaMu..Amiinn.. ~Deq Syahirah Sayang~


.:: Wahai pejuang..Saat dirimu diuji, bila badai perjuangan melanda. Adakalanya kau kuat kerana kau yakin Allah di sisi. Tapi bila suatu masa semangat itu pergi, walau bergoncang jiwa ragamu, jangan kau lari dari medan ini. Biarkan Allah terus memegang hatimu. Memandu langkahmu. Membentuk dirimu menjadi pejuang sejati. Keperitan..Keletihan. Mengadulah pada Allah.. ~Deq FatinHasyimah Sayang~


.:: Saat Allah mencintai seseorang, tempat pertama menerima sentuhan cinta itu ialah hati mereka. Di situlah Allah melenyapkan segala rasa putus asa dan kesedihan akibat dosa mereka. Kemudian diganti dengan harapan dan keinginan untuk berubah menjadi insan bersih. Hati kita seeloknya selalu berbisik: “Aku tahu bila Allah mencintaiku iaitu saat aku membenci segala kejahatanku” ~Deq Fiefa Sayang (Puteri Mak Uda)~


.:: “ Kemenangan dan kejayaan itu sedang menanti di hadapan kita. Walaupun tekanan semaki dahsyat dan keras menghimpit kita, ingatlah bahwa sesungguhnya fajar mentari pastika terbit walau kegelapan masih berpanjangan” (Imam Hassan Al-Banna) ~Ukhti Syahmeor Sayang~


*************************************


“Salam akak sayang.. bagi tazkirah sikit. Dah lama tak dengar akak ‘berceloteh’..hehek..”

Message sent.

A few minutes later.

Teett..teettttttttt..

“Amboiii.. aritu ‘sombong’ tak nak dengar suara akak kan? Huhu..Kak ada program ni dengan adik-adik Badar, Uhud n Syabab. Hati yang dekat dengan Allah itu ialah hati yang sentiasa muhasabah diri, yang suka diingati dan mengingati. Dia akan tenang pabila bersama orang beriman yang sentiasa ingatkan dia pada Tuhan dan sukakan majlis ilmu yang akan meningkatkan imannya..”

( ^__________^)

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...