Wednesday, June 16, 2010 By: HIDAYATUL MUSTAQIMAH

Abu Ubaidah al-Jarrah,tokoh terulung..

بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah..selautan kesyukuran dan selangit pujian dipanjatkan ke hadrat Ilahi,masih membenarkan kita bernafas dalam nikmat Iman dan Islam..apa khabar Iman di hati?masih dibajai dgn nur-nur Islam?atau sudah dinodai dgn keasyikan dunia..masih tegarkan dlm perjuangan Islah diri?atau sudah kalah pada hawwa?nauzubillah..moga kita semua masih tergolong dlm kalangan yg sentiasa mendapat cahaya hidayah-Nya..

Along baru je selamat menghadam cerita tentang salah seorang sahabat Nabi, Abu Ubaidah al-Jarrah..subhanallah,buku setebal 346 m/s itu cukup untuk membuat along kembali menghisab diri betapa payahnya perjuangan mereka untuk mnyebarkan syiar Islam..tanpa ketegaran dlm prjuangan dan jasa mereka dalam pengorbanan ,sudah pasti kita masih dalam keadaan jahiliyyah dan tidak dapat mengecap kemanisan hidup bertunjangkan kehidupan bersyariat ini(Islam) syukur sgt2 kerana along terpilih utk mnyampaikan cerita tentang beliau usai cuti nanti kepada shbt2 along bagi mengisi sesi ta’lim..amanah yg diberi menambah kecintaan along untuk terus mendalami dan memahami perjalanan hidup sahabat-sahabat Nabi.. periwayatan hidup dan perjuangan mereka dalam menyebarkan Islam dan kalimah-kalimah Allah ni,mengobarkan semangat juang dalam diri yang sekejap naik,sekejap turun..

Siapa Abu Ubaidah al-Jarrah?

Nama sebenarnya ialah Amir bin Abdullah bin al-Jarrah bin Hilal al-Fihri al-Quraisy. Terkenal dengan nama Abu Ubaidah al-Jarrah. Lahir pada 582 Masihi di Mekah dari sebuah keluarga Quraisy terhormat. Berasal daripada kaum Quraisy suku al-Harith bin Fihr.Beliau termasuk kelompok awal memeluk Islam selepas Abu Bakar as-Siddiq.Seorang yang tinggi,kurus,berwibawa,bermuka ceria,selalu merendah diri dan amat pemalu. Amat disenangi oleh mereka yang mengenali beliau. Beliau masuk Islam bersama Abdurrahman bin Auf, Uthman bin Mazun dan Arqam bin Abu al-Arqam, di tangan Abu Bakar as-Siddiq. Saidina Abu Bakarlah yang membawakan mereka menemui Rasulullah SAW untuk menyatakan syahadat di hadapan Baginda.

Rasulullah saw pernah bersabda;
“Sesungguhnya dalam setiap kaum terdapat orang yang jujur. Orang yang jujur di kalangan umatku adalah Abu Ubaidah al Jarrah.”


Dalam hadis yang lain Rasulullah saw bersabda lagi.
Tiap-tiap umat ada orang yang memegang amanah. Dan pemegang amanah umat ini ialah Abu Ubaidah al Jarrah.”
"Tiga orang yang paling terkemuka dalam suku Quraisy memiliki sifat yang terbaik dan paling sederhana. Mereka adalah Abu Bakar, Uthman bin Affan dan Abu Ubaidah al-Jarrah"

Antara sahabat dijamin Syurga

10 sahabat yang dijanjikan Syurga sebagaimana disebut secara sekaligus oleh Baginda Rasulullah s.a.w ialah sebagaimana hadis berikut :

“ Daripada Abdul Rahman Bin Humaid, daripada bapanya : Sesungguhnya Said Bin Zaid pernah menceritakan kepadanya mengenai satu kumpulan , dengan katanya : Pernah Baginda RasululLah s.a.w bersabda : 10 orang yang akan memasuki syurga iaitu (1)- Abu Bakar , (2)- Umar, (3)-Utsman , (4)- Ali , (5)- Zubair , (6)-Tolhah , (7)-Abdul Rahman , (8) – Abu ‘Ubaidah , (9) Sa’ad Bin Abu Waqqas ~ maka beberapa orang yang mengira-ngira jumlah semua yang dijanjikan dengan syurga itu , di manakah lagi seorang ?. Lalu mereka bertanya kepada Said Bin Zaid : Demi Allah Wahai Abu A’awar ! Siapakah dia orang yang kesepuluh itu ?. Maka Said Bin Zaid pun menjawabnya : Bukahkah kamu sendiri telah bersumpah bahawa Abu A’awar itu pun adalah di kalangan mereka yang dijanjikan syurga ? “. – Imam Abu ‘Isa (At-Tirmidzie) menyatakan : “ Abu A’awar itu sendiri adalah Said Bin Zaid Bin ‘Amru “ . ~ ( Hadis Sahih riwayat Imam At-Tirmidzie , di dalam Kitab Al-Manaqib : 3681 ) dan hadis seumpama ini diriwayatkan juga oleh Imam Abu Dawud rh di dalam sunannya – Kitab As-Sunnah : 4031 dan juga Imam Ahmad – Musnad Al-Ansar : 21, 088 )

10 orang itu ialah :

1- Saidina Abu Bakar As-Siddiq (ra).
2- Saidina Umar Al-Khattab (ra).
3- Saidna Uthman Bin Al-‘Affan (ra).
4- Saidina Ali Bin Abu Talib (ra).
5- Saidina Zubair Bin Al-‘Awwam (ra).
6- Saidina Tolhah Bin ‘Ubaidillah (ra).
7- Saidina Abdul Rahman Bin ‘Auf (ra).
8- Saidina Abu ‘Ubaidah ‘Amir Bin Al-Jarrah (ra).
9- Saidina Sa’ad Bin Abu Waqqas (ra).
10- Saidina Sa’id Bin Zaid (ra).


Namun,perlu diingat bukan mereka sahaja yang dijamin Syurga
Menurut hadis , umat Rasulullah s.a.w yang dijamin masuk ke dalam syurga tanpa hisab adalah sebanyak 70 ribu orang ( Hadis riwayat Imam Al-Bukhari rh ).

Setelah menjadi pengikut Nabi Muhamad saw, Abu Ubaidah al Jarrah sanggup menghadapi kesulitan dan bersifat berani ketika berada di medan perang. Beliau mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah saw.

Keistimewaan Abu Ubaidah al-Jarrah

Kehidupan beliau tidak jauh berbeza dengan kebanyakan sahabat yang, diisi dengan pengorbanan dan perjuangan menegakkan Dien Islam.

Hercules berkata kepada salah seorang tentera yang dibebaskan oleh Abu Ubaidah al-Jarrah.”Sila terangkan mengenai orang itu.”

Jawab tenteranya, “Sebenarnya dia menjadi pahlawan pada siang hari dan menjadi pendeta pada malam hari. Dia tidak memakan sesuatu makanan melainkan selepas jelas halalnya. Tidak masuk ke dalam rumah melainkan mengucapkan salam. Dia menunggu musuhnya menyerang dahulu, barulah dia memeranginya.”

Semasa berlaku perbalahan di balai Bani Saadah mengenai perlantikan khalifah bagi menggantikan Rasulullah maka Abu Ubaidah berkata,
Wahai orang Ansar, kamu yang mula-mula menyokong perjuangan Islam. Saya harap janganlah kamu yang mula-mula mengingkarinya.”

Salah seorang sahabat Nabi iaitu Khalid Al-Walid segan dan kagum akan kehebatan dan karisma beliau. Sehingga dalam peperangan menentang Rom Byzantine, sewaktu proses penyerahan tugas dari Abu Ubaidah kepada Khalid, Khalid berkata:

"Demi Allah, kalau tidak kerana mematuhi arahan khalifah, aku tidak akan memerintahkan kamu ataupun berada di atas kamu. Engkau lebih mulia dari aku. Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang sahabat Nabi. Tapi kamu adalah yang hormati. Kamulah yang baginda panggil 'Penjaga Amanah Umat'."

Begitu juga dengan Umar. Ketika para sahabat berselisih pendapat mengenai rombongan ke Amawas ketika berlakunya wabak taun, Abu Ubaidah mengatakan kepada Umar:
"Wahai Umar. Apakah kamu mahu lari daripada takdir Allah?"
Umar yang merenung wajah Abu Ubaidah kerana merasa segan dengan teguran dan karisma Abu Ubaidah mengatakan:
"Sekiranya ada orang lain yang mengatakan perkara itu selain daripada kau wahai Abu Ubaidah, ya. Aku lari dari takdir Allah untuk pergi kepada takdir Allah yang lain."
Turun khabar gembira dari langit
Dalam perang Badar Abu Ubaidah al Jarrah cuba mengelak dari bertembung dengan ayahnya yang berada dalam pasukan Quraisy yang menentang Rasulullah saw.Tetapi ayahnya telah bersumpah hendak membunuh anaknya sendiri kerana menjadi pengikut Muhamad. Abdullah terus memburu anaknya hingga suatu ketika Abu Ubaidah al Jarrah terpaksa berdepan dengan ayah sendiri. Dalam pertarungan itu Abu Ubaidah al Jarrah terpaksa membunuh ayahnya. Beliau berasa amat sedih sehingga turun ayat Al-Quran surah Al Mujadalah ayat 22 yang bermaksud.

“Engkau tidak menemukan kaum yang beriman kepada Allah dan hari kiamat yang mengasihi orang-orang yang menentang Allah dan Rasulullah, walaupun orang tersebut ayah kandung, anak, saudara atau keluarganya sendiri. Allah telah mematri keimanan di dalam hati mereka dan mereka dibekali pula dengan semangat. Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, mereka akan kekal di dalamnya. Akan menyenangi mereka, di pihak lain mereka pun senang dengan Allah. Mereka itulah perajurit Allah, ketahuilah bahwa perajurit Allah pasti akan berjaya.” (Al Mujadalah ayat 22)
“Gagah dan Jujur”

Semasa berlakunya perang Uhud, Rasulullah saw terkena anak panah yang dilepaskan musuh lalu tersangkut pada rahang baginda. Abu Ubaidah al Jarrah mencabut anak panah itu dengan giginya sehingga giginya tercabut. Rasulullah saw memberinya gelaran “Gagah dan Jujur”.

Suatu hari datang satu rombongan dari Najran menemui Rasulullah saw lalu meminta baginda menghantar seorang yang boleh dipercayai bagi menyelesaikan pertengkaran di kalangan mereka serta mengajar agama Islam. Rasulullah saw berjanji akan menghantar seorang sahabat yang gagah dan jujur. Sehubungan dengan itu Umar al-Khattab berharap beliau yang akan dipilih Rasulullah saw tetapi orang yang berani dan jujur yang dimaksudkan itu ialah Abu Ubaidah al Jarrah.

Beliau juga seorang yang zuhud, tidak tamak kuasa dan harta. Di bawah pemerintahan khalifah Umar al Khattab, Abu Ubaidah al Jarrah dilantik menjadi ketua pasukan tentera Islam bagi menakluk kota-kota besar yang berada di bawah pemerintahan Rom seperti Kota Damsyik, Syria, Syam, Kota Aleppo, Kota Hims, Kota Antakiah dan Kota al Quds di Baitul Maqdis.

Ketika khalifah Umar al Khattab berkunjung ke Baitul Maqdis, beliau singgah di rumah Abu Ubaidah al Jarrah. Dilihatnya yang ada dalam rumah ketua panglima Islam itu hanyalah pedang, perisai dan pelana kuda sahaja.

“Wahai sahabatku, mengapa engkau tidak mengambil sesuatu dari harta rampasan perang sebagaimana orang lain mengambilnya?” Tanya Umar al Khattab.

“Wahai Amirul Mukminin, ini saja sudah cukup bagiku,” jawab Abu Ubaidah al Jarrah.
Saidina Umar al Khattab melantik Abu Ubaidah al-Jarrah memimpin tentera Islam bagi merebut kembali kawasan tanah Arab yang dijajah oleh kerajaan Rom. Beliau berjaya dalam tugas yang diberikan itu sehingga berjaya menakluk Baitul Maqdis.

Wabak Taun melanda

Setelah menyelesaikan tugasnya, berlaku wabak penyakit Taun di Syam.Berpuluh ribu orang mati. Khalifah Umar al-Khattab mengirim surat memanggil Abu Ubaidah al Jarrah pulang ke Madinah namun beliau menolaknya kerana tidak sanggup membiarkan penduduk Syam dan tenteranya dalam bahaya sedangkan dia melarikan diri. Beliau menulis surat kepada Umar al Khattab.

“Wahai Amirul Mukminin! Sebenarnya saya tahu tuan memerlukan saya, akan tetapi saya sedang berada di tengah-tengah tentera Muslimin. Saya tidak ingin menyelamatkan diri sendiri dari musibah yang menimpa mereka dan saya tidak ingin berpisah dari mereka sampai Allah sendiri menetapkan keputusannya terhadap saya dan mereka. Oleh sebab itu, sesampainya surat saya ini, tolonglah jangan paksa saya pulang ke Madinah dan izinkanlah saya tinggal di sini.”

Setelah Umar al Khattab membaca surat itu, beliau menangis sehingga para sahabat menyangka Abu Ubaidah al Jarrah sudah meninggal. Umar menjawab, kematiannya sudah di ambang pintu.
Puas Umar berikhtiar mengajak Abu Ubaidah pulang semula ke Madinah,namun belum berjaya. Abu Ubaidah tetap dengan pendirian,tidak akan meninggalkan penduduk Syam dan tenteranya. Ternyata Abu Ubaidah tidak gentar dan rela mati bersama tentera serta penduduk Syam. Namun Khalifah Umar masih tidak berputus asa. Dia cuba mencari jalan supaya Abu Ubaidah keluar dari negeri itu. Selepas puas berfikir, beliau mendapat idea lain. Sekali lagi beliau mengutus surat, kali ini beliau memerintahkan Abu Ubaidah membawa penduduk serta tenteranya berpindah dari Syam. Abu Ubaidah bersetuju dengan arahan itu.
Abu Ubaidah memerintahkan penduduk serta tenteranya membuat persiapan berpindah. Persiapan dibuat, tetapi pada hari keberangkatan itu, Abu Ubaidah mengalami demam yang teruk dan cirit-birit. Amru dan Muaz datang ke rumahnya apabila mengetahui Abu Ubaidah tidak sihat selepas Muaz diminta mengimamkan sembahyang Subuh. Apabila melihat keadaan Abu Ubaidah, mereka berpandangan sesame sendiri. Kerisauan terbit di hati masing-masing.
“Bagaimana keadaan tuan?” tanya Muaz. Dia cuba menyembunyikan kerisauannya.
“Jangan risau. Saya cuma demam, dua tiga hari nanti sihatlah,” jawabnya. Tubuhnya lemah dan bibirnya pucat.
“Keadaan tuan semakin teruk. Ini bukan demam biasa,tuan terkena penyakit taun. Biar saya bawa tuan ke Madinah. Di sana nanti, penyakit tuan dapat diubati,” cadang Amru al-As yang mula tidak keruan.
“Seandainya ajal sudah hampir, saya mahu mati di sini. Saya tidak mahu ke mana-mana lagi. Saya mahu mati di sini bersama orang-orang saya. Di sini tempat saya,” kata Abu Ubaidah al-Jarrah.
Kemudian beliau mengangkat tangannya. Amru diam. Dia mengerti isyarat itu. Tidak lama kemudian Abu Ubaidah al-Jarrah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Wasiat Terakhir
Sebelum meninggal dunia Abu Ubaidah al Jarrah sempat berpesan kepada tenteranya,
“Dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat, puasalah di bulan Ramadhan, berdermalah, tunaikanlah ibadah haji dan umrah, saling nasihat menasihatilah. Berilah nasihat kepada pimpinan kamu, jangan menipu, jangan terpesona dengan harta dunia. Sesungguhnya Allah telah menetapkan kematian untuk setiap manusia, kerana itu semua manusia pasti akan mati. Orang yang paling beruntung adalah orang yang paling taat kepada Allah dan paling banyak bekalnya untuk akhirat.”

Perginya seorang tokoh yang hebat
Berita kematian Abu Ubaidah mengejutkan seluruh wilayah Arab. Khalifah Umar bergegas ke Syam dengan perasaan bercampur baur. Hatinya dihiris pilu dan air matanya bercucuran apabila menatap wajah sahabatnya buat kali terakhir. Perkara paling ditakuti terjadi jua. Abu Ubaidah tokoh yang hebat meninggal dunia semasa wabak taun mengganas. Namun begitu beliau sedar, perkara yang berlaku adalah kehendak Allah. Siapalah dia untuk melawan kekuasaan Allah yang menentukan ajal maut umat manusia. Dia yakin sahabatnya itu berada dalam kalangan orang yang dicintai Allah.
Penduduk Syam menangis dan dan bersedih dengan pemergian tokoh yang banyak berjasa kepada agama dan sanggup mengharungi susah senang bersama mereka. Dengan meninggalnya pahlawan agung itu, beliau berjaya menghancurkan penyembah-penyembah berhala di Parsi dan menewaskan kerajaan Rom di Syam.
Selepas pemergian Abu Ubaidah, Khalifah Umar kembali semula ke Madinah dengan kesedihan masih bersarang di hati. Setelah Abu Ubaidah al Jarrah meninggal dunia, Muaz bin Jabal mengambil alih tempatnya lalu berucap di hadapan orang ramai.

Wahai sekalian kaum Muslimin! Kamu sudah dikejutkan dengan berita kematian seorang pahlawan, yang demi Allah saya tidak menemukan ada orang yang lebih baik hatinya, lebih jauh pandangannya, lebih suka terhadap hari kemudian dan sangat senang memberi nasihat kepada semua orang. Oleh sebab itu kasihanilah beliau, semoga kamu akan dikasihani Allah.”
Malangnya, beberapa hari kemudian Muaz juga terkena wabak taun lalu meninggal.Tempatnya diambil alih oleh Amru al-As. Dia meneruskan seperti yang dirancang dengan mengajak orang ramai berpindah ke tempat yang lebih selamat. Tidak lama kemudian wabak taun itu akhirnya hilang.
** Abu Ubaidah al Jarrah meninggal dunia pada tahun 18 Hijrah di Urdun dalam wilayah Syam. Jenazahnya dikebumikan di kawasan yang pernah dibebaskannya daripada kekuasaan Rom dan Parsi. Ketika itu beliau berumur 58 tahun.
>>Sumber: Novel Sejarah Islam Abu Ubaidah Penakluk Parsi, karya Abdul Latip Talib.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...