Thursday, August 4, 2011 By: HIDAYATUL MUSTAQIMAH

.::Erti Syukur::.





Bismillahirrahmanirrahim..


Alhamdulillah, kita sudah masuk hari kelima Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Di dalamnya terkandung maghfirah, hadiah keampunan yang cukup besar buat hamba-hambaNya yang bertaqwa.


Alhamdulillah, semalam diberi peluang untuk solat Isyak berjemaah dan bertarawih bersama ayah dan adik-adik di ‘surau ayah’. (Surau itu terletak selang dua kampung dari kampung saya. Ayah bilal di situ dan diamanahkan untuk menjaga kebajikan surau itu oleh pemiliknya yang sudah lama kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah. )


Sudah agak lama saya tidak menjejakkan kaki ke surau ini. Seingat-ingat saya, kali terakhir adalah semasa satu Syawal tahun lepas. Kebiasaanya berjemaah di masjid kampus sahaja. Alhamdulillah, kini sudah kembali ke negeri asal, jadi saya boleh menggunakan kesempatan ini untuk berjemaah di surau ini apabila pulang ke rumah pada hujung minggu. Senyum.Errkk, usah ditanya mengapa saya pulang awal ke rumah tanpa sempat menyempat menunggu hujung minggu. Ada masyaqqah tertentu yang tidak dapat dielakkan. Iye ke? Hehe..


Kami jemaah yang paling awal tiba di surau itu. Masa yang ada, sempat saya gunakan untuk menghabiskan juzu’ seterusnya sebelum ayah melaungkan azan Isyak. Tidak lama kemudian, tibalah seorang ahli jemaah muslimah ini.Pangkat makcik. Saya sekadar tersenyum menyapa. Dia membalas dan beberapa detik kemudian berkerut dahi bagaikan mengingat atau memikirkan sesuatu.


“Ni along Syirah kan? Anak Lan?”


“Iya..Saya..” , saya mengangguk lantas tersenyum senang. Tangan dihulur untuk bersalam.


Usai mencium tangan makcik itu, dia langsung memeluk saya erat. Saya terkedu.



‘Alhamdulillah…”, bisik makcik itu sebak.


Pelukan dirungkai, sambil memegang bahu saya, dia tersenyum.


“Alhamdulillah, makcik senang along dah sihat. Muka pun dah kembali asal, takde bengkak-bengkak macam dulu. Dah cantik”


Ok, bab cantik tu, sahabat-sahabat semua pura-pura tutup mata tak baca ye. Hehe.


“Alhamdulillah makcik..Kesembuhan ini dari DIA”


“Dah tu, along masih makan ubat ke?”


“Ha’a..ubat tak boleh putus lagi setakat ini.” Tersenyum lagi.


“Takpe lah long. Dapat berdiri macam ni pun dah kira bersyukur kan?”


“Alhamdulillah, segala puji selayaknya untuk DIA”


Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah..Segala puji disandarkan untuk DIA, Tuhan sekalian alam. Sebenarnya, dari Ramadhan pertama lagi saya berangan-angan untuk bertarawih bersama jemaah di ‘surau ayah’. Rindu untuk bertemu jemaah-jemaah di sana. Mahu bertemu muka, berterima kasih pada mereka. Dan Ramadhan inilah peluang untuk saya bertemu mereka. Daripada cerita ayah, sepanjang saya terlantar sakit, mereka tidak putus-putus solat hajat berjemaah untuk kesembuhan saya. Kami langsung tidak meminta. Hingga kini, mereka juga tiada putus bertanya khabar.Itu yang membuatkan ayah sebak, terharu.Apatah lagi saya.


Kami tiada pertalian darah. Asal pun bukan dari kampung yang sama. Tetapi, semangat ukhuwah sesama Islam benar-benar membuatkan saya kagum. Masih ada rupanya ‘jiran’ sebegini di zaman modenisasi ini. Alhamdulillah, sepanjang saya terlantar, mereka tidak putus-putus datang melawat. Masa itu, saya hanya mampu melihat mereka mengalirkan airmata. Sesekali membisikkan kata-kata semangat. Saya hanya mampu mengangguk lemah, tidak mampu bersuara. Airmata menjadi saksi, betapa saya terharu dengan ‘hadiah’ Allah ini.


Pernah waktu itu, bagaikan sudah tiada harapan untuk saya hidup. Saya terfikir, sempat kah saya merasai Ramadhan tahun ini sebagaimana tahun-tahun sudah. Dan Alhamdulillah, berkat doa mereka, saudara-mara dan sahabat handai yang tiada putus, saya mampu bertahan hingga sekarang. Buktinya, saya masih mampu melakar sesuatu di kanvas ini, meskipun tidak sekencang dahulu. Dan saya masih diberi kesempatan untuk menyambut bulan yang penuh keberkatan ini, berpuasa tanpa ada halangan setakat ini. Agaknya, ‘Inche S’ itu tahu ini bulan puasa, lalu dia tiada menyerang setakat ini. Hormat barangkali. Senyum.


“Along kan? Ya Allah..nampak dah sihat..”


“Syirah anak Ros kan? Bila balik? Dah sihat dah..”


“Subhanallah..dah sihat. Hari tu, macam dah tak nak hidup makcik tengok”(Sambil mengalirkan airmata)


Phewwww.. (kata-kata ni, buat saya terlopong. Peluh menitik laju)


Macam-macam lagi lah komentar makcik-makcik di sana. Tiba-tiba rasa macam artis bila diaju berbagai soalan. Aman. Terima kasih Ya Allah, kerana engkau telah menghadiahkan kasih sayang hamba-hambaMu kepadaku.


Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, saya hanya terdiam. Mula memikirkan nikmat Allah yang tiada putus buat hambaNya yang satu ini. Allah sedang mengembalikan nikmat kesihatan buat saya setelah berbulan-bulan ia kembali pada yang haq. Lalu, apa bukti syukur saya padaNya. Ramadhan inilah peluang untuk saya benar-benar menggencar amal. Siapa tahu, ini mungkin Ramadhan yang terakhir buat saya?


Terimbau saya pada pertemuan yang tidak disangka dengan dia yang senasib dengan saya. Hurm, sebenarnya dia lagi bernasib baik. Kerana dia diuji lagi hebat daripada saya, bukti Allah lebih menyayanginya.


Pertemuan terjadi di hospital kira-kira dua minggu lepas. Masing-masing ada temujanji doktor di bahagian klinik pakar MOPD. Kami menghidap sakit yang sama. Bezanya, saya berdiri normal.Namun, dia berkerusi roda. Jika sahabat-sahabat masih ingat, saya pernah selitkan cerita dia pada artikel yang lepas. (Cerita yang mana, pesakit yang sudah agak teruk keadaannya: organ dalaman semua sudah diserang). Mak sangat mahu bertemu dengannya dan sewaktu kami ingin melawat, dia sudah discharge keluar. Dan Alhamdulillah, pada hari itu, Allah mengizinkan kami untuk bertemu.


Sebelum ini, saya hanya mendengar ceritanya daripada emak. Cukup membuatkan saya bermuhasabah. Tetapi, selepas melihat sendiri keadaannya yang lemah tidak berdaya itu, benar-benar membuatkan saya terkejut. Umurnya seusia dengan saya, tetapi kesan penyakitnya yang semakin parah itu membuatkan dia kelihatan seusia dengan nenek saya. Agak melampau kenyataan ini kan? Tetapi itulah hakikatnya. ‘Inche S’ menyerang dari dalam, membuatkan kulitnya semakin mengecut dan lebam-lebam. Bertahun-tahun dia menghidap penyakit ini, mungkin inilah kemuncak ‘Inche S’ itu mengganas. Namun, saya cukup yakin, dia mampu menghadapinya. Sembuhkanlah dia Ya Allah.


Melihat dia, menjadikan saya berfikir. Kita tidak akan selama-lamanya sihat. Sesekali Allah akan menguji dengan mengambil nikmat sihat itu, lalu menggantikannya dengan nikmat sakit. Mengenangkan nasib saya mungkin akan sama dengan si gadis cekal itu, benar-benar membuatkan saya menghargai Ramadhan kali ini. Entah mengapa, terkadang hati kecil saya membisikkan, saya tidak sempat untuk bertemu Ramadhan akan datang. Untuk itu Ya Allah, kurniakanlah hamba kesihatan tubuh badan yang baik, agar hamba bisa menggencar amal dan melaksanakan ibadah tanpa sebarang halangan dan kekangan.


Untuk itu, berikut adalah antara list yang ingin dicapai sepanjang bulan Ramadhan pada tahun ini.


  • Membaca Al-Quran sekurang-kurangnya 1 juzu’ sehari. ( agak-agaknya, masa yang terluang saya kena baca lebih dari 1 juzu’, khuatir tidak sempat menghabiskan senaskhah Al-Quran menjelang akhir Ramadhan..huhu..)

  • Qiam setiap hari. Sekurang-kurangnya, dua rakaat solat sunat taubat, dua rakaat istikharah, 3 witir.

  • Tidak bercakap perkara lagho. Sebaliknya digantikan dengan zikrullah.

  • Sentiasa berwudhuk. Gap antara peralihan waktu, digunakan untuk solat sunat dhuha.

  • Menjaga pandangan, menjaga lidah, menjaga hati.

  • Sedia menghulurkan bantuan.

  • Perbanyakkan sedekah.

  • Memulakan sapaan.Sekurang-kurangnya saya akan memulakan senyuman. :)

  • Menjadi anak yang solehah. Sentiasa menghiburkan hati.

  • Masak kuih-muih yang digemari adik-adik (dakwah fardhiyyah untuk pikat hati mereka. Yalah, nak pikat hati kena dari perut. Hehek.)

  • Sentiasa bersabar.Tidak berlebihan sewaktu berbuka.




Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...