Monday, November 28, 2011 By: HIDAYATUL MUSTAQIMAH

Keutamaan Cinta


Dengan Nama Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang.


Imam Al-Ghazali ada menyebut, jika ada orang yang berbuat baik pada kita, paling tidak itu kerana dua sebab: Pertama, kerana dia ingin pahala akhirat. Kedua, ganjaran dari orang yang dibantunya. Ganjaran itu boleh berbentuk harta, pujian atau penghargaan. Jelasnya, ada ‘sesuatu’ di sebalik pertolongan itu. Sedangkan Allah menolong, membantu dan menganugerahkan kewujudan pada kita benar-benar tanpa sebarang ganjaran. Orang yang berbuat baik kepada kita, kebaikannya bersifat sementara, sedangkan Allah selalu berbuat baik pada kita terus-menerus tanpa batasan dan balasan.


Baiknya Allah, Dia terus-menerus berbuat baik pada yang mencintainya dan yang mengingkarinya. Tuhan mencintai orang-orang yang mencintaiNya dan memberikan kepada sesiapa sahaja kasih-sayangNya, tetapi bukan cinta.


Sedangkan kita, umumnya hanya berbuat baik kepada yang kita cintai. Kita jarang berbuat baik secara khusus kepada yang kita benci. Ada sebuah syair Arab,


“Jadilah kamu seperti pohon buah di pinggir jalan, meskipun dilempar dengan batu, ia tetap menghadiahkan buah yang ranum.”


Ada sebuah kisah.


Suatu ketika, Dzunnun Al-Misri sedang musafir. Dia melihat kala jengking merayap ke pinggir sungai Nil dengan cepat. Dzunnun Al-Misri mengikutnya kerana ingin tahu apa yang akan dilakukannya. Dia ingin mendapat pelajaran daripada apa yang dilihatnya, bukan apa yang didengar. Ketika kala jengking itu mendekati tepi sungai Nil, tiba-tiba dari dalam sungai, muncul seekor katak. Kala jengking itu terus menaiki belakang katak itu.


Dzunnun Al-Misri mengambil perahu dan mengejarnya. Sampai di seberang sana, kala jengking itu masih juga merayap. Pada suatu tempat di tepi sungai Nil, ada seorang pemuda sedang tidur. Tiba-tiba, dari arah yang berlawanan, datang seekor ular menuju ke arah pemuda itu, dengan pantas kala jengking itu menyerangnya. Berlakulah perkelahian antara kedua binatang itu dan berakhir dengan kekalahan ular. Ular itu mati. Setelah itu, kala jengking kembali semula ke tepi sungai Nil. Muncul lagi katak itu membawanya ke tempat asal.

Apa yang diperoleh dari kisah itu? Dzunnun Al-Misri menyimpulkan, betapa seringnya Allah melindungi kita tanpa kita ketahui. Sangat sayang Allah pada kita sehingga ketika kita tidur dan tidak berdaya menghadapi bahaya, Allah masih melindungi kita. Tanpa pengetahuan kita Dia menjaga kita.


Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Tirdmizi, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:


“Cintailah Allah kerana nikmat yang diberikanNya padamu, cintailah aku kerana cintamu pada Allah dan cintailah keluargaku kerana cintamu padaku.”


Jika kita cenderung mencintai orang yang berbuat baik pada kita, mengapa tidak mencintai Allah yang menggerakkan hati orang tersebut sehingga berbuat baik pada kita?


Namun, ada juga manusia yang mencintai sesiapa sahaja yang berbuat baik sekalipun kebaikan itu tidak sampai pada dirinya. Sebagai contoh, kita mendapati berita tentang seorang pemimpin yang adil, ahli ibadah, alim, penyayang pada orang yang dipimpinnya dan lemah lembut terhadap mereka, sedangkan pemimpin tersebut berada di salah sebuah benua bumi nan jauh dari tempat tinggal kita. Kemudian kita juga mendapati berita tentang seorang pemimpin yang zalim, sombong, fasik dan jahat serta berada jauh dari tempat tinggal kita, pasti dalam diri kita terdapat perasaan yang berbeza terhadap pemimpin yang kedua itu. Hati kita, pasti akan mencintai pemimpin yang pertama dan membenci pemimpin yang kedua, sekalipun kita tidak mempunyai sebarang harapan dari kebaikan pemimpin yang pertama dan keselamatan dari kejahatan pemimpin yang kedua.


Sama halnya dengan mencintai Rasulullah. Kita generasi umat akhir zaman, tidak mencintai baginda kecuali dengan kebaikan yang kelihatan dari baginda dan bukan kerana gambaran zahirnya. Kebaikan amal baginda itu lah yang menunjukkan sifat-sifat yang dimilikinya. Inilah sumber perbuatan kerana perbuatan adalah hasil yang timbul dari sifat-sifat tersebut dan menjadi buktinya.


Oleh itu, perkara tersebut akan menumbuhkan rasa cinta di dalam hati orang yang memiliki sifat tersebut. Ini merupakan jenis kesempurnaan. Maka, kesempurnaan pada seluruh makhluk haruslah kita nisbatkan pada kekuasaan Allah S.W.T . Mustahil jika seseorang mencintai salah seorang hamba Allah kerana kemampuan, kebijaksanaan dan kesempurnaan kekuatannya tanpa mencintai Allah kerana tiada daya dan kekuatan kecuali hanya milik Allah Yang Maha Tinggi dan Agung. Adanya mereka, tidak lain kerana kekuatan dan kebaikanNya.


Dengan demikian dapat dipastikan bahawa dalam cintaNya, tidak ada sekutu bagiNya dan tidak ada kekurangan atau cacat cela yang dapat tembus ke dalam cintaNya, sebagaimana tidak ada sekutu yang dapat mengatasi sifat-sifatNya. Jadi, dia adalah yang berhak terhadap cinta utama dan kesempurnaan cinta tanpa ada sekutu sama sekali.

Ya Allah, aku tidak tidak mempunyai sesuatu seperti Engkau. Maka kasihanilah kini pada pendosa yang datang padaMu. Wahai harapanku, sokongan dan kegembiraanku, jangan biarkan hati ini mencintai apa pun lebih dariMu..




Sumber: Buku ‘Ya Allah! Aku Tidak Layak Untuk Syurga-Mu, Namun Aku Juga Takut Azab Neraka-Mu’

Di edit oleh: Perantau Damai




Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...