Sunday, May 8, 2011 By: HIDAYATUL MUSTAQIMAH

Bukan Salah Doktor Laaaa....

“Syira, kenapa awak tak saman je pihak hospital? Ni dah kes aniayai nih!”


“Geramnya aku. Mana boleh sambil lewa macam tu? Agak-agak la. Soal hidup mati orang kot..!”


“Kesian awak Syira…”


“Along, tok rasa baik kita saman je.. Biar dorang sedar, mende ni tak boleh buat main-main. Takut nanti mende sama jadi kat orang lain pulak.”


Saya menjawab: “Apa kes saman-saman..? Kita bako je..Kita bako..!” hik3..Ok, tipu.




Hmm..macam-macam cadangan diusulkan. Saya hanya tersenyum. Sesekali menggeleng. Lucu. Risau benar mereka. Entah la, saya malas nak fikir semua tu. Bagi saya, tindakan itu hanya merumitkan keadaan. Kenapa sibuk nak saman-menyaman,sedangkan saya tetap macam ni? Orang kata ‘nasi dah jadi bubur’. Kenapa, kalau dengan saman, sakit saya ni akan otometik sembuh? Dan andaikata menang kes, wang yang saya dapat boleh bawa masuk kubur? Sinis bukan?



Saya bukan nak berlagak. Tapi, hakikatnya kita kena percaya pada rukun iman yang keenam, percaya qada’ dan qadar. Allah dah tentukan,


Syirah, pada tarikh sekian-sekian, kamu akan ditimpa musibah ini.


Siapa kita nak lawan ketentuan Tuhan. Saya pasrah, tapi tak bermakna saya mengalah. Kerana apa? Kerana saya yakin pasti ada hikmah di sebalik musibah. Benar-benar membuatkan saya bermuhasabah.


Perasaan saya cuma satu. Bangga. Hehe.. Siapa yang tak bangga bila Allah pilih kita untuk jalani ujian ni. Cuba bayangkan, kita yang selama ini sihat wal afiat, tiba-tiba disahkan menghidap penyakit kronik. Cuba bayangkan, semalam elok je kita bergelak tawa. Main lompat-lompat dengan adik-adik atas katil. Main kejar-kejar. Along jadi kuda, adik naik belakang. Pusing-pusing ruang tamu sampai semput. Mak ayah tergelak-gelak. Bahagia sangat time tu.


Kemudian, cuba bayangkan pagi tu tiba-tiba kita tak boleh bergerak. Badan panas. Kepala terasa berat sangat. Cuba bayangkan sendi-sendi mula membengkak. Lutut seolah-olah longgar. Berjalan terasa payah, untuk sujud dalam solat lutut rasa nak pecah. Muka yang selama ini bersih suci, dinodai dengan tompok-tompok merah. Hidung asyik mengeluarkan darah. Membeku dengan cepat. Kemudian berketul. Hingga hidung terasa seperti tidak berfungsi. Bernafas pula melalui mulut, sakit. Ulser pada bibir. Lelangit berlubang. Bibir membengkak.Terkoyak.Muka juga membengkak. Kelopak mata seperti diisi air. Mata menyepet. Dunia tiba-tiba terasa sempit.


Tidak cukup dengan itu, bayangkan pula seluruh bahagian sendi menjadi lebam. Lutut,siku,jari semuanya. Bertukar buruk. Cuba bayangkan bangun dari tidur, rambut memenuhi satu bantal. Gugur. Teruk . Cuba bayangkan, perut mencucuk minta diisi. Pedih. Tapi, dek kerana ulser yang menumpang pada bibir dan lelangit yang memecah, untuk menelan,azabnya hanya Allah yang tahu. Itu kalau berjaya ditelan. Tapi, bagaimana rasanya bila yang ditelan itu, dimuntahkan balik? Senak. Bukan sehari dua, tetapi hampir dua minggu, perut hanya dialas susu dan madu. Itu pun tak lebih sesudu. Kalau lebih,dimuntahkan balik.


Apa saya mampu buat? Hanya mampu berbaring. Bangun cuma untuk solat. Surah yang dipilih hanya pendek-pendek. Itu pun sudah cukup membuatkan saya semput dan mengambil masa yang lama untuk menghabiskan. Usai berdoa, saya kembali rebah, adik terpaksa memapah. Tidur. Hanya itu yang saya mampu lakukan, untuk mengurangkan kesakitan.


Jangan. Jangan menangis. Ramai yang berkata pada saya “awak ni suka buat orang menangis”. Bukan. Bukan itu niat saya. Saya bukan menulis untuk meraih simpati. Cuma mahu berkongsi apa yang saya alami. Saya mahu berkongsi, betapa indah dan cantiknya rencana Allah buat saya. Begitu juga, betapa Allah itu Maha Kuasa atas tiap sesuatu. Dia yang menimpakan sakit, Dia juga yang menyembuhkan. Sama halnya dengan mati. Kalau ditakdirkan hari ini akhir usia kita, maka tiada siapa yang boleh menolaknya.Apa lagi minta ditangguh. Kerana apa? Kerana mati itu pasti.


“Katakanlah bahawasanya maut yang kamu sekalian lari darinya itu pasti akan menemui kamu, kemudian kamu sekalian akan dikembalikan kepada Zat yang Maha Mengetahui segala yang ghaib serta yang nyata, kelak Dia akan memberitahu kamu segala yang telah kamu lakukan.” (Al-Jumu’ah, ayat 8)


Jadi, kenapa hendak menyalahkan tuan doktor itu jika sudah ditakdirkan saya akan menghidap penyakit ini? Perlu diingat, semua yang berlaku atas diri kita adalah kehendak Tuhan. Saya sepatutnya berterima kasih pada tuan doktor itu kerana ‘kecuaian’ beliau memberikan ubat sehingga sakit yang biasa ini berubah menjadi suatu penyakit kronik. Kenapa perlu berterima kasih? Kerana saya tahu, Tuhan jadikan dia sebagai pengantar untuk ingatkan saya. Kalau saya sihat, mungkin saya makin lupa Dia. Sebab Dia sayang saya, Dia timpakan saya dengan penyakit ini. Dia mahu saya sentiasa ingat Dia, sentiasa ingat mati. Betapa beruntungnya saya kan? Sekurang-kurangnya diberi ‘warning’ terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya saya diberi kesempatan untuk menyiapkan bekalan ke sana.Bagaimana halnya dengan orang yang mati secara tiba-tiba? Tanpa signal, tanpa alarm. Itu lagi tragis kan? Jadi, bagitahu saya kenapa kita perlu menangis,merintih mengenang nasib diri? Tidak cukup lagikah nikmat yang Allah beri?


Kerana itu, perlunya sifat sabar. Allah sendiri telah melukiskan orang-orang yang sabar itu dengan berbagai-bagai sifat. Al-Quran juga ada menyebut keutamaan sifat sabar ini dalam lebih 70 tempat.


“Dan Kami (Allah) akan memberikan balasan kepada orang-orang yang bersabar itu pahala mereka menurut apa yang telah mereka kerjakan dengan sebaik-baiknya.” (An-Nahl, ayat 96)


“Mereka itulah yang akan diberikan pahalanya dua kali ganda disebabkan mereka telah bersabar.” (Al-Qasas, ayat 54)


“Hanyalah orang-orang yang sabar itu akan disempurnakan pahalanya tanpa kiraan.” (Az-Zumar, ayat 10)



Lihatlah bahawa setiap amalan yang baik itu, sentiasa ditentukan balasannya menurut kadar dan hitungan yang tertentu, kecuali sabar. Allah sendiri telah memberi janji kepada orang-orang yang sabar itu, bahawa Dia akan sentiasa berada bersama-sama mereka.


“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah, ayat 153)


Lihatlah betapa baik dan pemurahnya Allah. Dia cuma ambil satu bahagian daripada saya,iaitu nikmat sihat. Kemudian Dia suruh saya bersabar. Mulanya saya ‘melatah’ dan agak ‘keberatan’. Yelah, bahagian kita diambil, siapa yang tak sedih. Tapi, saya ikut flow yang Dia rencanakan untuk saya. Bersabar dan berdoa. Alhamdulillah, Dia gantikan dengan yang lebih baik. Dia tarik nikmat sihat, kemudian Dia bagi pula nikmat kasih sayang yang tak terhingga daripada keluarga, sanak-saudara,kawan-kawan, jiran tetangga dekat mahupun jauh. Hatta yang berada di luar negeri, timur tengah sana. Semua tidak putus datang melawat,bertanya khabar,solat hajat dan berdoa. Tidak cukup dengan itu, saya diberi pula nikmat ukhuwah. Hampir sebulan tidak masuk ke kelas. Banyak yang ketinggalan. Asement bertimbun. Namun, kawan-kawan sekelas masih sudi membantu. Tugasan saya diagih-agihkan setiap seorang. Semua turut membantu. Apa saya mampu buat? Menangis terharu. TT_TT


Paling utama, saya dapat ‘hadiah’ yang diimpi-impikan setiap orang, iaitu nikmat KETENANGAN. Subhanallah..indah. Cukup indah perasaan bila kita merasakan Tuhan itu dekat. Cukup indah bila kita dapat merasainya dalam setiap aliran darah, dalam setiap perlakuan, pertuturan hatta pemikiran. Sukar untuk diluahkan dengan kata-kata betapa indahnya perasaan itu. Yang pasti, perasaan itu selalu buat saya tersenyum sendiri mengenangkan begitu banyak nikmat yang telah Allah kurniakan buat hambaNya yang dhaif ini. Jadi, nikmat mana lagi yang saya ingin dustakan?


Jadi, untuk sahabat yang saya sayangi, ingatlah bahwa setiap ujian dan mehnah yang diterima itu adalah sebuah ‘hadiah’ daripada Allah yang dijelmakan dalam bentuk musibah sebagai tarbiyah untuk hambaNya yang mahu berfikir. Kita fikir Allah tidak adil kerana menimpakan ujian sebegitu berat pada kita. Tapi..tapi..tapi…Dia lagi tahu kan?


……boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah, ayat 216)


Jangan kita fikir Allah itu kejam kerana Allah tidak akan sesekali menzalimi hambaNya.


“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya………..” (Al-Baqarah, ayat 286)


Sebagai hamba, jangan sesekali kita putus harapan dan hilang kebergantungan denganNya. Lalu..teruskanlah berdoa.


"……..Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".(Al-Baqarah, ayat 286)


Ingatlah.. Allah itu kasih akan hambaNya. Begitu banyak nikmat yang Dia beri, banyak pula yang kita baziri. Begitu banyak janji yang kita taburi, banyak juga yang kita mungkiri. Tapi, Allah itu baik kan? Tak pernah ‘merajuk’ dengan kita. Sebaliknya, Dia terus memberi dan memberi. Apa, kita tidak rasa malu?


Sekadar muhasabah di hujung minggu. Ujian Allah itu berseni, kasih-sayangnya abstrak. Dia Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita. Senyum.. ^__^



Blok Amal, 00:22

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

3 comments:

sahabatmu said...

smoga cpt sembuh ukhti..T_T

HIDAYATUL MUSTAQIMAH said...

syukran dear..doakan selalu ye. ^__^

Nurul Atiqah said...

kak, eiqah pinjm crite akk untuk buat novel... tp eiqah ubah sikit... nnti dh siap, it's an honor to let you be the first to read it.. InsyaAllah dlm bulam Disember atau January.. cpt smbuh<3

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...